Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Cuaca Tidak Menentu, Pengusaha Tanggung Rugi Akibat Durian Rosak

01/07/2026 02:10 PM

GUA MUSANG, 1 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga dan pengusaha kebun durian di Kampung Batu Papan 2 di sini terpaksa membuang dan memberi percuma kepada pelanggan lebih satu tan durian pelbagai jenis termasuk musang king yang rosak akibat cuaca tidak menentu sejak dua bulan lepas.

Chong Yok Fon, 55, berkata setiap minggu dianggarkan 200 hingga 300 kilogram durian rosak diperoleh daripada kebunnya melibatkan pelbagai jenis dan saiz termasuk gred A yang mencecah harga RM68 sekilogram.

"Perubahan cuaca iaitu amat panas ketika siang tetapi hujan pada sebelah malam mengganggu tumbesaran buah.

Ad Banner
Ad Banner

"Kebanyakan pokok tua dan besar tidak mendapat air yang mencukupi sekali gus memberi kesan kepada penghasilan buah durian," katanya ketika ditemui hari ini.

Selain itu, beliau berkata buah yang masih muda juga banyak gugur akibat angin kuat.

Sehubungan itu, Chong berkata bagi mengelakkan pembaziran, raja buah yang tidak mencapai standard untuk jualan turut diberikan secara percuma kepada pelanggan. 

"Setiap pagi kami akan mengasingkan buah-buah ini mengikut saiz dan gred. Jika ada buah yang pecah atau buruk di bahagian bawah serta ditebuk serangga atau haiwan perosak, kami tidak akan menjualnya kepada pelanggan. 

"Sebahagian daripada buah ini masih dapat dimakan isinya, diproses untuk dijadikan hidangan lain dan ada juga lebih sesuai dijadikan tempoyak. Ia terpulang kepada pelanggan," katanya yang mempunyai kira-kira 1,000 pokok durian berusia antara 10 hingga 40 tahun.

Chong berkata bilangan buah yang diambil pelanggan adalah tidak terhad, malah mereka dialu-alukan untuk membawa durian itu pulang. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan