Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

GM Klang Tingkat Pengalaman Komuniti Melalui Ruang Komersial

29/06/2026 10:37 AM

SHAH ALAM, 29 Jun (Bernama) -- GM Klang menerima permintaan yang semakin meningkat bagi ruang komuniti dan acara miliknya, dengan kawasan seperti Dataran GM Klang, Podium Blok B dan Atrium semakin menjadi lokasi pilihan bagi aktiviti serta program awam.

Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata sambutan terhadap penggunaan ruang guna sama itu menunjukkan pusat komersial fizikal masih mempunyai potensi besar apabila diaktifkan dengan kandungan dan pengalaman yang sesuai.

Beliau berkata sejak pelancaran Dataran GM Klang pada November lepas, kawasan berkeluasan kira-kira separuh padang bola itu semakin mendapat perhatian sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran aktiviti komuniti dan program hujung minggu.

Ad Banner
Ad Banner

“Pusat komersial hari ini tidak boleh hanya bergantung kepada fungsi jual beli semata-mata. Pengunjung mahukan pengalaman, pemborong mahukan pendedahan manakala jenama dan penganjur memerlukan ruang yang boleh menghubungkan mereka secara langsung dengan komuniti. 

“Sebab itu, peningkatan permintaan terhadap ruang seperti Dataran GM Klang, Podium Blok B dan Atrium satu perkembangan positif yang memperlihatkan GM Klang semakin diterima sebagai platform aktiviti yang hidup, fleksibel dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

Norsuhaida berkata GM Klang sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk penganjur acara, komuniti, jenama tempatan, institusi pendidikan, persatuan dan rakan perniagaan yang mahu membawa pengisian berkualiti kepada orang ramai.

Antara pengisian yang dijangka terus memeriahkan GM Klang termasuk festival makanan, reruai pop-up, aktiviti jualan, kempen promosi, program komuniti serta sambutan bertema seperti Ambang Merdeka dan Tahun Baharu. 

Beliau berkata GM Klang juga sedang merancang beberapa tarikan berskala lebih besar termasuk Persembahan Projection Mapping Berskala Besar Eksklusif 2026 sebagai usaha memperkukuh pengalaman pengunjung dan menjadikan ruang komersial fizikal lebih interaktif, menarik serta relevan dengan generasi pengguna baharu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026.

Norsuhaida berkata pengaktifan ruang komersial di GM Klang bukan sekadar bertujuan mengisi kalendar acara tetapi menjadi sebahagian daripada usaha membina pengalaman yang lebih seronok, inklusif dan berkesan untuk pengunjung serta rakan kolaborasi.

“Kami mahu setiap program berlangsung di GM Klang memberi nilai kepada semua pihak termasuk pengunjung yang mendapat pengalaman baharu, pemborong memperoleh manfaat daripada aliran trafik manakala penganjur mempunyai ruang bersesuaian untuk mendekati komuniti secara langsung. 

“Dengan pendekatan ini, GM Klang akan terus diperkukuh sebagai destinasi komersial yang aktif, terbuka dan dekat dengan masyarakat, khususnya di Klang dan kawasan sekitarnya,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan