Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bukan Sekadar Ikut Senior- Perantis ADI Bina Kerjaya Atas Tiket Pelajar

17/06/2026 05:42 PM

MELAKA, 17 Jun (Bernama) -- Daripada sekadar memerhati cara kerja senior di pejabat atau kilang, program perantisan di bawah inisiatif Akademi Dalam Industri (ADI) kini membawa dimensi baharu apabila peserta diberi peluang melaksanakan tugasan sebenar seperti pekerja profesional sambil masih bergelar pelajar, sekali gus merapatkan jurang antara dunia pendidikan dan keperluan industri.

Lebih utama, pendedahan kepada teknologi terkini termasuk Internet Benda (IoT), automasi industri dan pengalaman tugasan di luar negara yang distrukturkan secara sistematik menerusi program tersebut, memberi kelebihan kepada golongan muda untuk menjadi tenaga kerja mahir yang lebih kompetitif dalam sektor teknologi berimpak tinggi.

Bagi Auni Hidayah Hamidon, 30, inisiatif ADI bukan sahaja membuka laluan pendidikan alternatif kepada golongan muda, malah menjadi medan membentuk disiplin kerja, kemahiran teknikal dan keyakinan diri menerusi sistem mentor serta latihan berstruktur di industri.

Ad Banner
Ad Banner

Bekas perantis di Muehlbauer Automation Sdn Bhd itu berkata program berasaskan industri tersebut, memberi peluang kepadanya menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan sambil memperoleh pengalaman kerja sebenar sejak awal.

Beliau berkata selain konsep belajar sambil bekerja dalam suasana sebenar, pengajian ditaja pihak industri menjadi antara indikator utama buatnya menyertai program tersebut, selepas menamatkan diploma dalam bidang sains gunaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Biasanya kalau sambung sarjana muda kita kena fikir kos pengajian, tetapi melalui program ini saya dapat sambung belajar sambil bekerja dan pada masa sama dapat elaun serta pengalaman industri.

“Bagi saya ia satu peluang yang sangat baik, sebab bukan sahaja dapat belajar dalam bidang yang saya minat, tetapi saya juga dapat bina pengalaman kerja lebih awal,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Selatan (JPKWSN) Nor Asmah Daud berkata ADI, merupakan adaptasi model pembelajaran berasaskan tempat kerja secara langsung yang mentransformasikan peranan syarikat daripada pengguna tenaga kerja kepada rakan strategik, dalam melahirkan bakat bertepatan kehendak pasaran.

Beliau berkata inisiatif itu semakin membuahkan hasil terutama berjaya membuka jalan kepada penutupan jurang ketidakpadanan kemahiran yang dilakukan secara masa nyata dengan ADI bukan sekadar penjenamaan semula Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), tetapi suatu transformasi ekosistem latihan kemahiran.

Auni Hidayah berkata status sebagai perantis selama tiga tahun setengah yang digalas di syarikat berpengkalan di Jerman itu, banyak membantunya memahami realiti sebenar dunia pekerjaan khususnya dalam sektor industri yang sebelum ini hanya dipelajari secara teori.

Malah, beliau turut berpeluang sebanyak dua kali menjejakkan kaki ke ibu pejabat Muehlbauer Automation Sdn Bhd di Roding, Jerman pada 2022 dan 2025, sekali gus membuka matanya terhadap corak kerja sebenar termasuk tekanan dan peluang kerjaya yang boleh digapai selepas menjadi perantis di bawah inisiatif ADI.

Anak kelahiran Muar, Johor itu berkata pendedahan awal terhadap suasana kerja di kilang membantu peserta lebih bersedia menghadapi tekanan kerja dan budaya industri apabila memasuki alam pekerjaan sebenar kelak.

“Kalau dekat universiti kita lebih kepada teori, tetapi dekat sini saya belajar macam mana suasana kerja sebenar termasuk cara komunikasi, tekanan kerja dan bagaimana nak sesuaikan diri dalam satu pasukan.

“Dalam masa yang sama, ia meningkatkan kemahiran praktikal saya menerusi tugasan harian selain memberi peluang memanfaatkan ilmu yang dipelajari secara terus di tempat kerja. Jadi apabila sudah biasa dengan suasana itu lebih awal, kita tidak terlalu terkejut bila masuk alam pekerjaan apabila tamat pengajian nanti,” katanya.

“Dekat sini bukan sekadar belajar kemahiran, tetapi kita juga diajar tentang disiplin kerja dan cara menjadi pekerja yang lebih baik. Setiap perantis akan ada mentor yang sentiasa membimbing dan menegur jika kita buat kesilapan, jadi dari situ kita belajar untuk lebih matang dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara Ahmad Naquib Muhaimim Badrul Hisham, 21, berkata program itu bukan sahaja membolehkannya menyambung pengajian Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia, malah memberi pengalaman bekerja sebenar dalam industri secara serentak.

Lebih membanggakan, beliau bersama beberapa rakan lain diberi peluang menyertai tugasan sokongan produksi di cawangan Muehlbauer Automation Sdn Bhd di Wuxi, China pada April lepas.

Beliau berkata peluang berkenaan membuka ruang kepada mereka sebagai perantis untuk mengenali budaya kerja antarabangsa serta melihat sendiri perkembangan teknologi industri di luar negara.

“Peluang ini sangat membuka minda kami kerana dapat mengenali ramai individu dengan latar belakang dan pengalaman berbeza. Kami juga dapat belajar banyak perkara baharu termasuk teknologi, sistem kerja dan cara penyelesaian masalah dalam industri,” katanya.

Bercerita lanjut, pendekatan pembelajaran yang menggabungkan teori sekitar 20 hingga 30 peratus dan selebihnya latihan praktikal di industri itu sangat membantu perantis memahami realiti sebenar sesuatu kemahiran dan seterusnya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di institusi latihan dalam situasi sebenar industri.

“Kalau sekadar belajar tanpa praktikal, saya sendiri tidak tahu apa kegunaan ilmu itu. Tetapi di sini, apa yang dipelajari terus boleh digunakan dalam pekerjaan.

“Jadi kita bukan sekadar ikut senior dan mencatat tetapi menjadi pekerja dalam kilang itu seperti bekerja shif, kendalikan mesin sebenar, masuk mesyuarat dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan