Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rukun Negara Kekal Kompas Moral Perpaduan Dalam Era Polarisasi - Aaron

12/06/2026 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Rukun Negara kekal relevan sebagai panduan utama dalam membantu Malaysia mengurus kepelbagaian serta mendepani cabaran yang semakin meningkat akibat polarisasi, ekstremisme dan penyebaran maklumat palsu, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ke-3 di sini hari ini, beliau berkata falsafah kebangsaan itu terus berperanan sebagai kerangka hidup dalam memperkukuh perpaduan sosial dan daya tahan masyarakat Malaysia yang berbilang agama serta budaya.

"Dalam dunia yang menyaksikan polarisasi, ekstremisme dan maklumat palsu sering mengeksploitasi agama serta identiti, Rukun Negara menyediakan kompas moral bersama kepada rakyat Malaysia berasaskan prinsip kepercayaan, kesetiaan, keadilan, kedaulatan undang-undang dan nilai moral," katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Aaron berkata komitmen Malaysia terhadap perpaduan berteraskan Rukun Negara yang diisytiharkan pada 1970 lahir selepas negara melalui satu tempoh yang mencabar dalam sejarahnya.

Beliau berkata Rukun Negara dibina berasaskan lima prinsip utama, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Katanya falsafah itu membantu Malaysia mengelakkan kesan buruk perpecahan meskipun berdepan pelbagai cabaran, termasuk perubahan politik, jurang ekonomi dan peningkatan sikap tidak bertoleransi di peringkat global.

Aaron berkata pelbagai kajian dan tinjauan secara konsisten menunjukkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang masih melihat kepelbagaian sebagai sumber kekuatan serta mempercayai penganut agama lain sebagai jiran, rakan sekerja dan sahabat.

Beliau berkata prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan, amat penting kerana menegaskan bahawa keimanan dalam pelbagai bentuk menjadi faktor penyatuan yang menyediakan panduan moral, memupuk sifat rendah diri dan menghormati martabat kehidupan.

"Ia mengingatkan rakyat Malaysia bahawa walaupun kita menganut agama yang berbeza, pengiktirafan terhadap kewujudan Yang Maha Kuasa menyatukan kita melalui nilai kemanusiaan yang dikongsi bersama," katanya.

Aaron berkata Malaysia kekal komited untuk berkongsi pengalaman dalam mengurus kepelbagaian dan memupuk kehidupan bersama secara aman dengan masyarakat antarabangsa.

"Mesej Malaysia kepada komuniti global jelas, iaitu kehidupan bersama secara aman mampu direalisasikan apabila masyarakat memilih dialog berbanding perpecahan, kefahaman berbanding prasangka dan perpaduan berbanding konflik," katanya.

Beliau berkata Malaysia menjadi contoh bahawa kepelbagaian bukan suatu kelemahan, sebaliknya kekuatan yang boleh diselaraskan menerusi sikap saling menghormati, kesederhanaan dan tadbir urus yang inklusif.

"Dalam dunia yang semakin saling berkait hari ini, relevansi Rukun Negara melangkaui sempadan Malaysia. Ia membuktikan bagaimana sesebuah masyarakat dapat mengangkat nilai bersama yang merentasi kaum, kepercayaan dan budaya, sambil terus menghormati keunikan setiap komuniti," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan