Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Raih Enam Emas, Enam Perak Pada Anugerah World Prix d'Excellence FIABCI 2026

12/06/2026 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Malaysia meraih enam emas dan enam perak pada Anugerah World Prix d’Excellence FIABCI 2026 di Vienna, Austria sekali gus muncul sebagai pemenang terbesar yang mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam pembangunan hartanah.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu menjadikan jumlah keseluruhan pingat emas yang dimenangi Malaysia dalam anugerah Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) yang berprestij tersebut kepada 46, mencerminkan daya saing berterusan sektor hartanah negara di peringkat global.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kejayaan itu membuktikan keupayaan Malaysia membangunkan perumahan dan hartanah bertaraf dunia.

Ad Banner
Ad Banner

"Malaysia muncul sebagai pemenang terbesar pada Anugerah World Prix d’Excellence FIABCI 2026 yang menjadi bukti keupayaan negara dalam membangunkan projek perumahan dan hartanah bertaraf dunia.

"Ia bukan sekadar kemenangan kepada pemaju-pemaju tempatan, malah menjadi kebanggaan negara. Kejayaan ini membuktikan keupayaan pemaju tempatan untuk merealisasikan projek berkualiti tinggi, mampan dan berimpak positif kepada masyarakat selaras dengan penanda aras global," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata KPKT telah melaksanakan pelbagai reformasi bagi memudah cara dan memperkukuh pembangunan sektor hartanah, termasuk Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS), TEDUH (Sistem Bank Data Perumahan), Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA)  dan pelaksanaan audit mandatori Akaun Pemajuan Perumahan (HDA).

Beliau berkata pencapaian itu wajar dijadikan inspirasi kepada pemain industri untuk terus berinovasi, meningkatkan standard dan menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik kepada rakyat.

"Kami berharap seluruh industri dapat menjadikan pencapaian cemerlang ini sebagai pemangkin untuk terus berinovasi dan meningkatkan penanda aras industri hartanah negara.

"Dengan gabungan sokongan kerajaan dan kepakaran sektor swasta yang bertaraf dunia, kami kekal komited untuk membangunkan lebih banyak komuniti yang sesuai didiami dan disukai untuk rakyat,” katanya.

Anugerah World Prix d’Excellence FIABCI sering digelar sebagai "Oscar Industri Hartanah", mengiktiraf pembangunan hartanah terbaik dari seluruh dunia dalam pelbagai kategori.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan