Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MITI Pantau Warga Asing Jalan Perniagaan Haram Bagi Lindungi PMKS - Sim

12/06/2026 04:20 PM

GEORGE TOWN, 12 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang memantau rapat kegiatan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram bagi melindungi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata pemantauan itu selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tindakan penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan terhadap aktiviti perniagaan haram khususnya melibatkan warga asing yang melanggar undang-undang negara.

"MITI menerima aduan daripada pemain industri mengenai aktiviti perniagaan haram membabitkan warga asing yang menjejaskan perniagaan tempatan.

Ad Banner
Ad Banner

"Perdana Menteri mendengar suara pemain industri yang berdepan persaingan tidak adil daripada pihak yang menjalankan perniagaan secara haram, justeru kerajaan mengarahkan tindakan penguatkuasaan besar-besaran terhadap aktiviti tersebut," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) di sini hari ini yang turut dihadiri Presidennya Datuk Seri Choot Ewe Seng.

Isnin lepas, Anwar melahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini termasuk dalam sektor PMKS sehingga menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Sim berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan pelaburan dan perniagaan sah serta mematuhi undang-undang Malaysia, namun tidak akan berkompromi dengan aktiviti perniagaan haram yang menjejaskan peluang dan pendapatan usahawan tempatan.

Beliau berkata kewujudan peniaga haram menyebabkan PMKS dan perusahaan mikro tempatan terpaksa bersaing dalam keadaan tidak seimbang kerana pihak terbabit didakwa tidak membayar cukai, tidak mematuhi pelbagai syarat serta peraturan perniagaan.

Sim berkata terdapat warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan kemudahan tertentu termasuk visa ketibaan sebelum menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan secara haram sama ada dalam talian atau fizikal.

"Terdapat satu kes, keseluruhan rantaian industri pelancongan di Sabah dikendalikan oleh kumpulan dari luar negara sehingga manfaat ekonomi tidak dinikmati oleh pemain industri tempatan,'' katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan