PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Fariza Md Sham mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEAA) universiti tersebut.
UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu untuk tempoh dua tahun bermula 15 Jun 2026, bagi menggantikan Profesor Dr Abdul Halim Abdul Gafor yang tamat tempoh perkhidmatan.
Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh berkata pelantikan Fariza dapat memperkukuh hubungan akademik serta kerjasama strategik UKM dengan institusi antarabangsa selain memastikan kualiti aktiviti pengantarabangsaan universiti terus dipantau dan dipertingkatkan.
“Ia juga selaras dengan aspirasi UKM untuk mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia serta memperluas agenda pengantarabangsaan universiti,” katanya.
UKM memaklumkan Fariza ialah tokoh akademik yang aktif dan berpengaruh dalam bidang Psikologi Dakwah Remaja dan Psikologi Islam serta dianggap antara pelopor utama dalam dua bidang itu.
Sumbangan ilmiah dan kecemerlangan akademiknya membolehkan Fariza diiktiraf sebagai Felo Akademi Sains Malaysia yang secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pakar rujuk dalam bidang Pengajian Islam, Tamadun Islam, Dakwah dan Psikologi Islam pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Kepakaran beliau turut mendapat pengiktirafan global apabila dilantik sebagai Duta Pendidikan Uzbekistan ke Malaysia selain memegang beberapa jawatan antarabangsa termasuk Profesor Pelawat di Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Tashkent State University of Oriental Studies, International Islamic Academy of Uzbekistan dan Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage di Uzbekistan.
Fariza memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) pada 1994 daripada UKM sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang sama pada 1997 di universiti itu.
Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Dakwah dan Pembangunan Insan daripada Universiti Malaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial