Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPJ Healthcare Lancar Khidmat Pemindahan Buah Pinggang

11/06/2026 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) hari ini melancarkan perkhidmatan pemindahan buah pinggang pertama dalam rangkaian hospitalnya, sekali gus memperluas akses rawatan pemindahan berkepakaran tinggi serta pembangunan berterusan keupayaan klinikal lanjutan di bawah KPJ Health System (KPJHS).

KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan berkenaan susulan kejayaan kumpulan itu dalam prosedur pemindahan buah pinggang melibatkan penderma hidup yang mempunyai pertalian keluarga dengan pesakit awal tahun ini.

Menurut kumpulan itu, kejayaan itu sekali gus membuktikan kesiapsiagaan hospital dalam menyediakan rawatan pemindahan yang disokong oleh laluan klinikal yang tersusun serta kepakaran pakar perubatan.

Ad Banner
Ad Banner

“Diperkenalkan di Hospital Pakar Tawakkal (TSH), perkhidmatan ini menawarkan pemindahan buah pinggang sebagai pilihan rawatan khusus bagi pesakit yang sesuai, khususnya mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang.

“Prosedur tersebut dilaksanakan oleh Pakar Perunding Urologi Dr Norman Dublin dan Profesor Dr Azad Hassan Abdul Razack bersama Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz, dengan sokongan pasukan pelbagai disiplin yang merangkumi pakar bius, pakar radiologi, pakar rawatan rapi, jururawat serta profesional kesihatan bersekutu,” menurut kenyataan itu.

KPJ Healthcare memaklumkan bagi pesakit yang sesuai dengan penyakit buah pinggang peringkat akhir, pemindahan organ diiktiraf sebagai antara pilihan rawatan penting yang berpotensi memberikan hasil klinikal jangka panjang lebih baik serta mengurangkan kebergantungan kepada dialisis berbanding terapi penggantian buah pinggang konvensional.

Perkhidmatan itu juga disokong oleh pendekatan penjagaan bersepadu yang merangkumi bidang nefrologi, pembedahan pemindahan, anestesiologi, radiologi, rawatan rapi, kejururawatan, farmasi, dialisis, rehabilitasi, dietetik, perkhidmatan makmal serta penyelarasan pemindahan. 

Sementara itu, Presiden yang juga Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata perkhidmatan itu mencerminkan komitmen berterusan mereka untuk memperluas akses kepada rawatan berkeperluan tinggi serta mengukuhkan perkhidmatan penjagaan kompleks dalam rangkaian KPJ.

“Perkhidmatan ini menunjukkan KPJ Health System menghimpunkan keupayaan tersebut untuk menyokong pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan dan penjagaan berterusan.

“Berpandukan aspirasi Care for Life, kami kekal komited dalam membangunkan keupayaan yang menyokong pesakit di setiap peringkat perjalanan penjagaan kesihatan mereka,” katanya.

Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid pula berkata bagi pesakit yang sesuai dengan penyakit buah pinggang tahap akhir, pemindahan buah pinggang boleh memberikan peningkatan kualiti hidup yang ketara.

Beliau yakin perkhidmatan berkenaan membolehkan pesakit mendapatkan rawatan pemindahan yang menyeluruh dengan sokongan pasukan pakar sepanjang keseluruhan proses penjagaan.

Dalam pada itu, Pengarah Perubatan Hospital Pakar Tawakkal Dr Nurhashim Haron berkata perkhidmatan pemindahan organ itu turut membawa kesinambungan kepada sejarah panjang hospital dalam penjagaan buah pinggang.

“Hospital Pakar Tawakkal mempunyai penglibatan yang lama dalam bidang ini, termasuk pelaksanaan prosedur pemindahan pada 1980-an di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Dr Hussein Awang, pakar urologi dan pengasas bersama hospital ini.

“Tokoh perubatan itu telah melaksanakan pemindahan buah pinggang pertama di Malaysia pada 1975 dan kami berbesar hati untuk meneruskan legasi ini dengan menyediakan perkhidmatan ini kepada generasi baharu pesakit,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan