GUA MUSANG, 11 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyerahkan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak di sini yang dibangunkan bagi meningkatkan bekalan air bersih dan stabil kepada lebih 20,000 penduduk di sekitar jajahan Gua Musang.
Pengerusi PAAB Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata projek bernilai RM70.76 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh PAAB itu merupakan loji rawatan air pertama dibangunkan syarikat berkenaan di Kelantan hasil kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Air Kelantan Sdn Bhd.
Beliau berkata LRA Bukit Chupak dibangunkan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih yang sekian lama dihadapi penduduk setempat, selain meningkatkan rizab bekalan air kepada lima peratus berbanding sifar sebelum ini.
“Projek ini bukan sahaja memastikan bekalan air lebih stabil dan berkualiti, malah membantu memenuhi keperluan pengguna ketika musim kemarau serta peningkatan permintaan pada musim perayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak, di sini hari ini, yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Jaseni berkata loji berkapasiti 10 juta liter sehari itu, membekalkan dua juta liter air terawat ke Ladang Sungai Terah, Kampung Kerinting dan Kampung Awek, manakala baki lapan juta liter diagihkan ke beberapa kawasan lain termasuk Bandar Utama, Bandar Lama, Taman Wangsa Mewangi, Kesedar Inn dan Kampung Batu 1 serta Kampung Batu 2.
"Projek ini turut berjaya menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan hampir dua dekad di beberapa kawasan kritikal di Gua Musang selepas siap sepenuhnya pada 28 April lepas.
"LRA Bukit Chupak menggunakan teknologi moden termasuk flexible low weir gate yang mampu meningkatkan kedalaman sungai hingga 0.75 meter bagi memastikan sumber air mentah mencukupi terutama ketika musim kemarau, sekali gus menjadi loji pertama di Kelantan menggunakan teknologi itu," katanya.
Menurutnya, loji berkenaan juga dilengkapi teknologi rawatan air moden serta Sistem SCADA yang membolehkan pemantauan dan kawalan operasi dilakukan secara lebih cekap, sekali gus memastikan kualiti bekalan air yang konsisten kepada pengguna.
Sementara itu, beliau berkata PAAB terus komited memperkukuh pembangunan infrastruktur air di Kelantan termasuk melalui projek Loji Rawatan Air Chicha 2 yang dijangka siap Oktober depan serta Loji Rawatan Air Tok Bali bernilai RM162.26 juta yang dijadual siap pada Januari 2028.
Katanya, sehingga Mei 2026, jumlah keseluruhan pembiayaan PAAB di Kelantan mencecah RM1.63 bilion melibatkan projek yang telah siap, sedang dibina serta dalam peringkat perancangan bagi memastikan agenda meningkatkan sistem bekalan air negeri dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial