Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

DPP Bukan Pemberian Kewarganegaraan, Sebaliknya Instrumen Kawal Migrasi - KDN

11/06/2026 07:37 PM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) bukan suatu bentuk pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebaliknya proses itu, merupakan instrumen penting bagi memastikan kerajaan mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap isu migrasi dan keselamatan negara.

“Prinsip yang dipegang kerajaan adalah jelas. Keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi. Pada masa sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

Kenyataan KDN itu memaklumkan bahawa pelaksanaan proses DPP merupakan langkah penting ke arah pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan itu proses DPP di Semenanjung Malaysia melibatkan pelarian dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang sedang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia, berpandukan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023).

KDN menjelaskan melalui proses berkenaan, kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan serta latar belakang individu dikenal pasti dengan lebih tepat.

“Data ini amat penting bagi membantu kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.

“Ia juga membolehkan prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah-langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian, pemegang kad UNHCR diperkemas berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan,” menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan Malaysia telah berhadapan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad UNHCR selama berpuluh tahun, namun kerajaan sehingga kini tidak mempunyai data lengkap dan menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu terbabit.

Menurut kenyataan KDN, keadaan berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana setiap keputusan dan dasar berkaitan migrasi perlu berpaksikan data yang tepat, sahih serta dimiliki kerajaan Malaysia sendiri.

“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, KDN perlu memastikan setiap keputusan dan dasar dilaksanakan berpaksikan data yang tepat, sahih dan dimiliki oleh kerajaan Malaysia sendiri,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan