SEPANG, 11 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi mendapatkan pencerahan mengenai perkembangan terkini isu kerajaan Norway membatalkan lesen eksport bagi peluru berpandu antikapal (NSM).
Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata perkara itu akan dibentangkan dalam satu taklimat pada 23 Jun ini, yang turut melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen.
"Kita telah pun menulis surat kepada pihak MINDEF sebelum ini. Saya telah menerima surat daripada Ketua Setiausaha MINDEF (Datuk Lokman Hakim Ali) memaklumkan tentang apakah status sebaik sahaja keputusan daripada kerajaan Norway.
"Tetapi itu sudah agak lama dan saya difahamkan ada perkembangan baharu. Jadi kita akan memanggil pihak MINDEF untuk datang ke PAC memberikan pencerahan dan juga taklimat," katanya pada sidang media selepas lawatan PAC ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Sebanyak enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada asalnya dirancang dilengkapi sistem peluru berpandu antikapal keluaran syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace, menerusi kontrak bernilai 124 juta euro (RM571.9 juta) yang dimeterai pada April 2018.
Bagaimanapun, Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM kepada Malaysia pada Mac lepas, beberapa hari sebelum penghantaran dijadual dilaksanakan, susulan dasar kawalan eksport pertahanan negara itu yang diperketat bagi teknologi ketenteraan sensitif.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 2 Jun lepas berkata tindakan unilateral itu mengakibatkan negara mengalami kerugian langsung melebihi RM600 juta bagi harga misil, manakala kos tidak langsung boleh mencecah lebih RM1 bilion.
Mengulas mengenai lawatan PAC ke KLIA, Mas Ermieyati berkata ia adalah sebahagian daripada proses jawatankuasa itu dalam melengkapkan laporan prosiding berhubung pengurusan lapangan terbang awam.
Beliau berkata PAC kini berada pada peringkat akhir untuk memuktamadkan draf laporan itu sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 22 Jun ini.
Mas Ermieyati berkata lawatan kerja hari ini membantu PAC mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai status pelaksanaan projek berimpak tinggi, termasuk aerotren dan sistem pengendalian bagasi (BHS) bagi membantu menyiapkan laporan serta membuat rumusan dan syor kepada pihak berkaitan.
“Apabila kita turun ke lapangan dan melihat sendiri kemajuan projek serta operasi yang terlibat, kita dapat membuat semakan lanjut terhadap maklumat yang diberikan sepanjang prosiding,” katanya.
Jawatankuasa itu juga berpeluang meninjau secara dekat operasi BHS dan memahami cabaran serta risiko yang terlibat dalam usaha menaik taraf sistem berkenaan yang telah lama digunakan.
Beliau berkata PAC akan terus memantau pelaksanaan projek-projek berkenaan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual selain mengelakkan sebarang pembaziran, ketirisan atau penyelewengan dalam pengurusan dana awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial