MELAKA, 11 Jun (Bernama) -- Sebanyak 20 rumah di Kampung Pulau Gadong dan Kampung Persiaran Balik Buluh, rosak selepas dibadai ribut pada awal pagi tadi.
Tukang masak Md Sukor Abu, 49, berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu bumbung garaj jirannya menghempap bumbung rumahnya.
"Ketika kejadian, saya terdengar bunyi deruan angin kencang sebelum berlaku dentuman kuat di bahagian bumbung rumah. Ribut melanda secara tiba-tiba sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, di sini, hari ini.
Md Sukor yang tinggal bersama sembilan ahli keluarganya berkata sejurus kejadian itu, mereka sekeluarga keluar menyelamatkan diri kerana bimbang kediaman berkenaan roboh.
Jirannya, Asmawati Abu, 59, berkata dia menyedari bumbung rumahnya tercabut selepas dikejutkan anak perempuannya, Ida Norhidayah Md Derus, 42, yang turut tinggal di kediaman berkenaan.
"Anak perempuan saya menyedari ruang tamu rumah mulai basah dan saya ingatkan bocor biasa sebab hujan, Selepas keluar dari rumah, saya tengok bumbung rumah dah tercabut.
"Nasib baik runtuhan siling rumah tidak terkena cucu lelaki berusia 13 tahun dan perempuan lima tahun yang tidur bersama ibu mereka di ruang tamu," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong berkata kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan Saguhati Bencana Alam menerusi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah dan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Klebang.
Beliau berkata kira-kira 130 mangsa terlibat dalam kejadian tersebut dan kerja-kerja baik pulih rumah terjejas sedang giat dilaksanakan oleh penduduk kampung dan sukarelawan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial