PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan tampil dengan pendekatan lebih pantas dan proaktif menerusi gagasan "J-KOM 4.0" dalam menangani isu rakyat, kata Ketua Pengarahnya Mohd Hisyamuddin Ghazali.
Beliau yang baru empat hari mengetuai jabatan itu berkata J-KOM perlu bergerak lebih agresif sebagai saluran komunikasi dua hala antara rakyat dengan kerajaan, khususnya terhadap isu tular di media sosial.
“Tugas saya ada dua (iaitu) komunikasi harus sampai kepada rakyat dan daripada rakyat serta komuniti terus kepada kerajaan. Jadi komunikasi dua hala,” katanya.
Mohd Hisyamuddin ditemui media selepas membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei yang didakwa mengganggu operasi di Kementerian Komunikasi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.
Beliau berkata J-KOM perlu lebih responsif terhadap keresahan rakyat kerana kebimbangan yang timbul pada peringkat komuniti perlu disampaikan segera kepada pimpinan kerajaan.
“J-KOM perlu ambil maklum semua isu tular kerana apabila rakyat resah, komuniti (juga) resah. Bila komuniti resah, J-KOM kena ambil perkara ini dan bawa ke atas (kerajaan),” katanya.
Mohd Hisyamuddin berkata pendekatan baharu itu akan menyaksikan tindakan lebih cepat di lapangan, termasuk turun padang sebaik sahaja isu dibangkitkan rakyat.
Ini termasuk tindakan beliau turun padang ke beberapa lokasi yang menjadi perhatian rakyat susulan isu Rohingya yang tular di media sosial, pada hari pertama dilantik sebagai ketua pengarah.
Beliau berkata hasil lawatan itu dimaklumkan kepada pimpinan kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata kerajaan memandang serius isu kebanjiran warga Rohingya dan aktiviti perniagaan warga asing yang didakwa menjejaskan pendapatan rakyat tempatan, khususnya Bumiputera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial