BERA, 10 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk memperluas Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pelajar Tingkatan Empat mulai tahun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri telah menerima permohonan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, namun maklumat lebih terperinci masih diperlukan sebelum sebarang keputusan mengenai kelulusan dibuat.
“Fokus awal adalah kepada subjek teras terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Purun, di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata pihaknya turut menambah buku rujukan dan latihan bagi mata pelajaran penting, iaitu Matematik Tambahan dan Sains pada tahun ini, sekali gus menjadikan keseluruhannya enam modul disediakan kepada calon SPM di seluruh Pahang.
Pada tahun lepas, modul yang diperkenalkan adalah empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik.
Beliau berkata pihaknya akan terus memberi sokongan kepada apa juga usaha untuk meningkatkan pendidikan dalam kalangan pelajar di negeri ini.
“Kita mahu mereka menjadi generasi yang berakhlak baik, beradab, bersopan dan mempunyai integriti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial