Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LKIM Rangka Mekanisme Bawa Masuk Ikan Sabah Ke Semenanjung

10/06/2026 03:14 PM

PARIT BUNTAR, 10 Jun (Bernama) -- Proses membawa masuk bekalan ikan dari Sabah ke Semenanjung sedang dirangka menerusi kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan beberapa persatuan nelayan di Sabah bagi menstabilkan harga, selain memastikan bekalan makanan laut mencukupi di pasaran tempatan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata inisiatif itu diwujudkan susulan lambakan ikan di Sabah yang menyebabkan harga ikan di negeri itu lebih murah, sekali gus mewujudkan peluang pemindahan bekalan ke pasaran Semenanjung.

Beliau berkata pelaksanaan program berkenaan kini berada pada peringkat perancangan dan memerlukan penelitian aspek logistik serta kos pengangkutan sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

Ad Banner
Ad Banner

“Inisiatif ini telah digerakkan pada 2019 namun terhenti seketika. Tahun ini, kami mahu mengaktifkannya semula kerana terdapat lambakan ikan di Sabah, dan pada masa sama ketiadaan pasaran yang besar menyebabkan lebihan bekalan tidak dapat dioptimumkan.

“Jenis ikan yang dikenal pasti mengalami lambakan di Sabah termasuk ikan makerel dan pelbagai spesies ikan bersaiz kecil yang menjadi hasil tangkapan utama nelayan tempatan,” katanya ketika ditemui pada Program Rahmah Mesra MADANI di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini hari ini.

Pada 7 Feb lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementerian sedang menimbang membawa masuk ikan dari Sabah ke Semenanjung secepat mungkin bagi menangani kenaikan harga hasil laut itu.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata pihaknya memberi jaminan bekalan ikan bagi keperluan domestik masih mencukupi walaupun pengeluaran hasil tangkapan ikan negara dijangka mengalami sedikit penurunan susulan sebahagian vesel laut dalam Zon C2 mengurangkan operasi akibat isu subsidi diesel.

“Keadaan itu berkemungkinan memberi sedikit kesan kepada aktiviti eksport ikan negara, namun keutamaan kekal diberikan kepada jaminan bekalan untuk pasaran domestik yang dijangka tidak terjejas,” katanya.

Muhammad Faiz berkata LKIM serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya pengusaha vesel C2 dipertimbangkan untuk menerima subsidi diesel, namun perkara itu masih dalam penelitian kerana melibatkan implikasi kewangan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan