Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Allianz Malaysia Sumbang Ambulans Khas Kepada BSMM Sandakan

09/06/2026 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menyumbangkan sebuah ambulans khas kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Sandakan bagi memperkukuh tindak balas kecemasan serta meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman daerah itu.

Dalam kenyataan hari ini, Allianz Malaysia memaklumkan ambulans berkenaan telah diperkenalkan secara rasmi sempena sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan pada 9 Mei lepas.

Ambulans baharu yang diubah suai daripada kenderaan pacuan empat roda double cab itu direka khusus bagi kegunaan lasak serta kawasan sukar diakses. Ia dijangka memberi manfaat kepada ribuan penduduk di kawasan pedalaman Sandakan yang sebelum ini berdepan kekangan akses kepada kemudahan perubatan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kenderaan ini membolehkan pasukan penyelamat tiba di lokasi pesakit dengan lebih pantas, memberikan rawatan awal serta mempercepatkan pemindahan ke fasiliti kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Allianz Malaysia, penambahbaikan masa tindak balas dan capaian operasi tersebut secara langsung menyumbang kepada peningkatan hasil kesihatan serta kesejahteraan komuniti setempat.

Sementara itu, BSMM Cawangan Sandakan sebelum ini berdepan kekangan aset dengan beberapa kenderaan yang telah berkhidmat lebih 30 tahun, sekali gus menjejaskan keupayaan operasi dalam menghadapi kecemasan dan peningkatan permintaan bantuan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh komuniti yang lebih berdaya tahan.

“Di Allianz Malaysia, kami percaya tanggungjawab kami bukan sekadar menyediakan perlindungan kewangan, tetapi turut memberi impak bermakna kepada kehidupan masyarakat.

“Dengan mempertingkatkan keupayaan respons terhadap kecemasan di kawasan kurang mendapat akses, kami membantu merapatkan jurang perlindungan serta memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada rawatan kritikal apabila diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BSMM Cawangan Sandakan, Josie Pang berkata usaha mendapatkan rawatan di kawasan pedalaman Sandakan sering berdepan cabaran geografi serta jarak perjalanan yang jauh, sekali gus boleh melambatkan rawatan kritikal.

“Kami amat berterima kasih atas sumbangan ini kerana ia meningkatkan kesiapsiagaan operasi di lapangan, membolehkan pasukan kami sampai ke komuniti dengan lebih efisien serta memberikan bantuan lebih baik ketika situasi kecemasan,” katanya.

Kerjasama tersebut turut mencerminkan peranan penting perkongsian awam-swasta dalam menangani cabaran akses kesihatan serta membangunkan komuniti yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan