Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

UPSI Terbit Buku "UPSI Berduka", Abadikan Tragedi Gerik Panduan Tangani Krisis

07/06/2026 02:29 PM

PASIR PUTEH, 7 Jun (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerbitkan buku bertajuk UPSI Berduka yang mendokumentasikan tragedi kemalangan jalan raya melibatkan pelajarnya di Gerik, Perak tahun lepas sebagai rujukan dan panduan pengurusan krisis pada masa hadapan.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata buku yang mengambil masa hampir 10 bulan untuk disiapkan itu memuatkan kronologi insiden berkenaan, tujuh fasa tindakan pengurusan krisis yang dilaksanakan universiti bersama pelbagai agensi, selain himpunan luahan dan pengalaman pihak terlibat.

Beliau berkata penerbitan buku itu turut menjadi satu bentuk dokumentasi serta kajian lapangan yang merakam pengalaman waris, mangsa yang terselamat, sukarelawan, agensi penyelamat dan petugas barisan hadapan sepanjang tempoh pengurusan tragedi itu.

Ad Banner
Ad Banner

“Buku ini bukan hanya menceritakan pengalaman satu pihak, sebaliknya menghimpunkan suara majoriti yang terlibat sejak hari pertama tragedi berlaku sehingga proses penyelesaian pelbagai urusan berkaitan mangsa.

“Ia diharap menjadi garis panduan sekiranya berlaku insiden seumpama ini pada masa hadapan, walaupun kita berharap perkara sedemikian tidak akan berulang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tautan Kasih dan Ukhuwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Bali di sini hari ini.

Beliau berkata buku itu dijangka dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam masa terdekat di kampus UPSI.

Sementara itu, Md Amin berkata Tabung UPSI Berduka yang diwujudkan susulan tragedi berkenaan berjaya mengumpul sumbangan kira-kira RM2 juta daripada pelbagai pihak sejak hari pertama kejadian.

Beliau berkata bantuan daripada tabung itu telah disalurkan secara berperingkat kepada kesemua 42 mangsa dan waris yang terlibat, termasuk mereka yang cedera serta keluarga mangsa yang terkorban.

“Hari ini kita mengagihkan baki terkini tabung sebanyak RM210,000 dengan setiap penerima menerima RM5,000 secara sama rata bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata tabung itu akan ditutup secara rasmi pada Ogos ini, namun pihak universiti masih menerima sumbangan sehingga tempoh tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Pasukan Khas yang ditubuhkan selepas tragedi itu telah memperkenalkan beberapa langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselamatan pelajar.

"Antara langkah itu ialah tidak menggalakkan perjalanan pulang pelajar pada waktu tengah malam, mewujudkan sistem pelaporan penyewaan bas kepada universiti serta memperkenalkan fleksibiliti pembelajaran dalam talian sebelum dan selepas cuti pendek,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu bertujuan mengurangkan risiko perjalanan tergesa-gesa selain memastikan kebajikan serta keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

Kemalangan pada awal pagi 9 Jun 2025 melibatkan bas dinaiki penuntut universiti berkenaan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak dengan sebuah kenderaan berlaku di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak dan menyebabkan 15 penuntut maut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan