Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Semangat Kental, Air Sungai Dipercayai Bantu Jaslinda Bertahan Selama 14 Hari - Malim

06/06/2026 10:31 PM

TAPAH, 6 Jun (Bernama) -- Semangat kental serta kemampuan untuk bergantung kepada sumber air sungai dipercayai menjadi faktor yang membolehkan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, terus bertahan selepas hilang di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 24 Mei sebelum ditemukan selamat petang tadi.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM) Muzafar Mohamad berkata berdasarkan pengalaman dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pergunungan, mangsa dipercayai menyusuri laluan sungai selepas menyedari tersesat.

Beliau berkata tindakan itu merupakan antara kaedah asas kelangsungan hidup yang sering dilakukan pendaki yang hilang kerana sungai menyediakan sumber air berterusan dan berpotensi membawa mereka ke kawasan penempatan.

Ad Banner
Ad Banner

“Apabila seseorang yang sesat sudah sampai ke sungai, kebiasaannya dia tidak akan meninggalkan kawasan itu dan dia akan terus bergerak mengikut aliran sungai kerana ia laluan paling selamat untuk keluar dari hutan.

“Dalam kes Jaslinda, kami percaya beliau menyusuri Sungai Ayer Busok dari kawasan berhampiran Gunung Rayu menuju ke Pos Musoh, dengan jarak dianggarkan antara lapan hingga 10 kilometer,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Muzafar berkata pasukan SAR sebelum ini menjangkakan jika Jaslinda masih hidup, beliau mungkin terperangkap di kawasan lembah sungai berkenaan kerana keadaan muka bumi yang curam serta beberapa air terjun besar yang sukar dilalui.

"Beberapa pasukan pencarian yang cuba menyusuri laluan tersebut sebelum ini terpaksa berpatah balik kerana arus sungai yang deras dan halangan geografi yang mencabar," katanya.

Mengulas kemampuan Jaslinda untuk terus bertahan selama hampir dua minggu di dalam hutan, beliau berkata manusia mampu hidup dalam tempoh yang lama tanpa makanan selagi mempunyai bekalan air yang mencukupi.

“Saya percaya beliau hanya bergantung kepada air sungai dan tidak mengambil risiko memakan tumbuhan atau buah-buahan yang tidak dikenal pasti kerana boleh mendatangkan keracunan,” katanya.

Muzafar turut menyifatkan Jaslinda sebagai seorang yang mempunyai ketahanan mental yang tinggi kerana berjaya meneruskan perjalanan dalam keadaan mencabar sehingga berjaya ditemukan.

Jaslinda yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih pada 24 Mei ditemukan dalam keadaan selamat hari ini selepas 14 hari operasi pencarian dijalankan oleh pelbagai agensi dan sukarelawan.

Sementara itu, suasana sebak bercampur gembira di pekarangan Hospital Tapah apabila ahli keluarga Jaslinda serta rakan-rakan dapat bertemu kembali dengan wanita berkenaan.

Antaranya suami Jaslinda, Haszman Othman, 61, dan kakaknya Jasima, 52, yang dilihat memeluk wanita tersebut sambil memberi kata-kata semangat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan