KUALA LANGAT, 6 Jun (Bernama) -- Generasi ketiga dan keempat Kampung Jenjarom perlu terus mengekalkan perpaduan, kesepakatan pemikiran serta semangat kebersamaan bagi memastikan kampung itu terus berkembang sebagai sebuah kawasan yang maju dan membanggakan pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun penduduk mempunyai perbezaan pandangan dan latar belakang, penyatuan pemikiran, hati nurani dan tindakan perlu dijadikan asas dalam membangunkan Kampung Jenjarom untuk tempoh 100 tahun akan datang.
"Kita mesti ada wadah yang sama, wahdatul fikr (penyatuan pemikiran), wahdatul qulub (penyatuan hati nurani) dan wahdatul amal (penyatuan tindakan) agar Kampung Jenjarom ini insya-Allah 50 atau 100 tahun akan datang menjadi satu kawasan yang maju dengan penduduknya makin ramai, yang penting ialah penyatuan pemikiran dalam kalangan kita walaupun mungkin pendapat berbeza-beza.
"Perbezaan pendapat boleh diraikan, tetapi mesti ada tasamuh, akhlak dan adab dalam menangani perbezaan atau adabul ikhtilaf dan yang penting ialah nilai-nilai tradisi itu dipertahankan asalkan tidak ada asabiyah yang menyebabkan kita akan terpisah disebabkan oleh perbezaan pegangan atau warna kulit atau lain-lain fahaman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Karnival 100 Tahun Kampung Jenjarom di Sekolah Kebangsaan Jenjarom, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat Datuk Zurihan Yusop.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penduduk juga perlu terus menghormati asal usul dan akar keturunan masing-masing tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung sistem demokrasi serta perundangan negara.
Beliau berkata sejarah pembukaan Kampung Jenjarom oleh peneroka daripada komuniti Banjar dan Jawa membuktikan bahawa kepelbagaian latar belakang mampu menjadi kekuatan dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni dan maju.
Katanya kemajuan yang dicapai Kampung Jenjarom hari ini merupakan hasil usaha dan pengorbanan generasi terdahulu yang membuka serta membangunkan kawasan berkenaan sejak kira-kira 100 tahun lepas.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Warga Tertua Kampung Jenjarom kepada Saodah Yatim yang kini berusia 102 dan merupakan generasi kedua kampung berkenaan.
Saodah, yang dikurniakan tujuh anak, 47 cucu, 103 cicit dan 22 piut, merupakan saksi hidup perkembangan Kampung Jenjarom apabila beliau membesar ketika kawasan itu masih diliputi hutan serta menyaksikan sendiri proses penerokaan, penghijrahan dan pembentukan penempatan penduduk di kampung berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial