KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Agrobank meneruskan usaha mendekati komuniti penjaja dan peniaga kecil menerusi sesi libat urus di Pasar Tani Kelana Jaya, Petaling Jaya hari ini bersama-sama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Agrobank menerusi kenyataan memaklumkan penyertaan dalam program anjuran Kementerian Kewangan itu selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar institusi kewangan turun padang bagi membantu peniaga kecil mendapatkan modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Agrobank memaklumkan sesi itu memberi peluang kepada peniaga berkongsi cabaran perniagaan harian termasuk peningkatan kos operasi, sewaan tapak dan akses pasaran, sekali gus membantu bank itu menambah baik sokongan kewangan serta bukan kewangan kepada usahawan mikro.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam kenyataan sama berkata pasar tani bukan sahaja platform jualan kepada peniaga kecil, malah menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi setempat.
“Usaha Agrobank turun padang seperti ini penting bagi memastikan peniaga mendapat maklumat yang jelas mengenai kemudahan yang tersedia, sekali gus membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih baik untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank komited mendekati peniaga di lokasi bagi memahami keperluan sebenar dan menawarkan sokongan yang praktikal serta bersesuaian dengan skala perniagaan.
Beliau berkata usaha itu penting bagi membantu penjaja mengurus aliran tunai, mengadaptasi pendigitalan dalam urusan perniagaan serta membina perniagaan yang lebih mampan.
Sempena sesi libat urus itu, Agrobank turut membuka kaunter di tapak pasar tani bagi berkongsi maklumat mengenai kemudahan pembiayaan Agro Penjaja-i dan penyelesaian kewangan lain yang sesuai untuk peniaga kecil.
Agrobank memaklumkan bank itu kini mempunyai lebih 15,000 pengguna sedia ada dalam segmen komuniti penjaja dan akan terus memperkukuh capaian kepada lebih ramai penjaja serta usahawan mikro, selaras dengan peranannya sebagai institusi kewangan pembangunan Islam yang menyediakan akses kewangan lebih inklusif dan relevan kepada kumpulan sasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial