Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tangkapan Vesel Asing Turun 73.8 Peratus Sejak 2021 - KP Perikanan

05/06/2026 12:44 PM

PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan secara konsisten oleh pelbagai agensi maritim berjaya mengekang pencerobohan vesel penangkapan ikan asing (VNA) di perairan negara dengan jumlah tangkapan menurun 73.8 peratus sejak 2021.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata analisis trend menunjukkan jumlah tangkapan VNA berkurangan daripada 126 kes pada 2021 kepada hanya 33 kes tahun lepas, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha membanteras aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing).

Beliau berkata kejayaan itu didorong oleh kerjasama erat antara pelbagai agensi penguat kuasa menerusi operasi bersepadu seperti Ops Naga yang melibatkan kekuatan 17 agensi, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Ad Banner
Ad Banner

"Penurunan tekal ini membuktikan keberkesanan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara konsisten oleh pelbagai agensi, termasuk melalui kehadiran aset di zon maritim kritikal melebihi 60 batu nautika dari pesisir pantai.

"Kehadiran berterusan ini turut meningkatkan kesan pencegahan terhadap aktiviti pencerobohan vesel asing ke perairan negara," katanya dalam kenyataan bersempena Hari Kesedaran Memerangi Aktiviti Perikanan Tidak Sah, Tidak Dilapor dan Tidak Dikawal Selia (IUU Fishing Day) 2026 hari ini.

Bagi tempoh 2020 hingga 2025, Adnan berkata sebanyak 546 kes tangkapan VNA direkodkan oleh agensi penguat kuasa terlibat dan daripada jumlah itu, APMM mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 474 kes atau 86.8 peratus daripada keseluruhan kes.

PPM pula merekodkan 53 kes manakala Jabatan Perikanan (DOF) mencatatkan 19 kes dalam tempoh sama.

Mengulas cabaran semasa, Adnan berkata aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia, masih menjadi ancaman kepada pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan negara berikutan taktik yang digunakan sindiket semakin kompleks serta sukar dikesan.

Beliau berkata antara modus operandi dikenal pasti termasuk mematikan Sistem Pemantauan Vesel (VMS) bagi mengelak pengesanan, memanipulasi data pendaratan hasil perikanan, menceroboh kawasan perikanan tertakluk kepada syarat pelesenan serta kemasukan vesel pukat tunda komersial ke Zon A yang menyalahi peraturan.

"Aktiviti IUU Fishing bukan sahaja menyebabkan kehilangan sumber perikanan negara, malah boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin serta sumber pendapatan komuniti nelayan yang bergantung kepada sektor ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata DOF akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 (Akta 317) selain mempererat kerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi dan diurus secara mampan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan