Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

300 Rakan Strategik, Tetamu Jemputan Dijangka Meriahkan Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026

04/06/2026 10:26 AM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Sebanyak 300 rakan strategik dan tetamu jemputan dijangka memeriahkan Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Majlis itu yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching diadakan sebagai tanda penghargaan kepada rakan strategik dan penaja yang menyumbang serta menyokong penganjuran HAWANA 2026.

Turut dijangka hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Jabatan Komersil Bernama Mastura Hassan berkata sebanyak 113 rakan strategik terlibat dalam penganjuran HAWANA pada tahun ini, berbanding 79 rakan strategik pada tahun lepas.

Selain majlis itu, antara pengisian HAWANA 2026 ialah Forum Media HAWANA 2026, Pesta Pantun HAWANA-DBP, Fun Walk HAWANA, Mai RIUH@HAWANA serta selain Majlis Makan Malam Media bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Kemuncak sambutan HAWANA 2026 bakal menyaksikan Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang menjadi tumpuan pada 20 Jun ini dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan majlis itu.

Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, perhimpunan terbesar komuniti media negara ini menjadi medan penting bagi memperkukuh profesionalisme wartawan dalam mendepani landskap komunikasi yang kian mencabar.

Acara itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, sekali gus bertindak sebagai platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.

HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan