Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rumah Panjang Miliki Kelebihan Sebagai Produk Pelancongan Komuniti - Tiong

02/06/2026 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Rumah panjang di Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri untuk ditonjolkan sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata seiring pelaksanaan Program Homestay Pengalaman Malaysia oleh kementerian, rumah panjang menawarkan pengalaman budaya yang tidak dapat ditemukan di tempat lain di dunia.

Tiong berkata selain warisan budaya dipelihara, pembangunan pelancongan komuniti juga mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat melalui aktiviti inap desa, kraf tangan, makanan tradisional, persembahan kebudayaan serta pelbagai aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.

Ad Banner
Ad Banner

“Rumah panjang bukan sekadar warisan budaya yang perlu dipelihara, malah merupakan lambang kehidupan komuniti yang harmoni, bersatu padu dan terus berkembang seiring dengan arus kemodenan.

“Keunikan inilah yang menjadikan rumah panjang antara tarikan pelancongan budaya paling autentik dan bernilai untuk diperkenalkan kepada dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berharap media dan pelawat yang telah mengunjungi rumah panjang dapat berkongsi pengalaman mereka bagi membetulkan tanggapan atau gambaran kurang tepat segelintir pihak mengenai masyarakat peribumi di Borneo.

"Realitinya, komuniti rumah panjang hari ini hidup dalam suasana yang progresif dan terbuka, namun tetap utuh mempertahankan identiti budaya mereka yang unik. Nilai inilah yang menjadikan rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, tetapi simbol keharmonian dan perpaduan masyarakat Sarawak,” katanya. 

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan