Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

HAWANA 2026: Wartawan Sempadan Pertaruh Keselamatan Bongkar Realiti Di "Garisan Panas"

31/05/2026 12:34 PM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KOTA BHARU, 31 Mei (Bernama) -- Liputan di kawasan sempadan bukan sekadar tugasan kewartawanan biasa, sebaliknya menuntut keberanian tinggi serta ketelitian demi memastikan masyarakat menerima laporan yang tepat, sahih dan berimbang.

Ketua Biro Kosmo! Kelantan Muhammad Ayman Ghaffa berkata cabaran utama dalam liputan sempadan ialah mendapatkan maklumat yang benar-benar tepat serta sumber yang boleh dipercayai sebelum sesuatu isu dilaporkan.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demi menghasilkan laporan yang eksklusif dan berwibawa, pengamal media perlu turun sendiri ke kawasan terpencil termasuk pangkalan haram di sekitar Tumpat dan Rantau Panjang, Pasir Mas, meskipun berisiko bertembung dengan sindiket penyeludupan rentas sempadan.

“Risiko ini sentiasa ada ketika membuat liputan di kawasan sempadan. Kami juga kadangkala berdepan penerimaan kurang baik daripada penduduk setempat, terutama apabila membuat liputan berkaitan jenayah tersebut di kawasan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata setiap laporan yang dihasilkan perlu mendapat pengesahan daripada agensi berkaitan termasuk Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia, polis dan tentera Thailand, selain maklumat daripada masyarakat setempat bagi memastikan laporan yang disiarkan tepat serta tidak menimbulkan spekulasi.

“Sebagai contoh, insiden letupan bom di selatan Thailand atau kes tembakan maut membabitkan individu berkewarganegaraan ganda memerlukan pengesahan rasmi sebelum dilaporkan kepada umum,” katanya.

Muhammad Ayman berkata media memainkan peranan penting sebagai jambatan makluman kepada rakyat Malaysia untuk memahami realiti sebenar situasi keselamatan di kawasan sempadan dan di selatan Thailand yang sering bergolak.

Beliau berkata dalam era penyebaran maklumat pantas, pengamal media perlu terus berpegang kepada etika kewartawanan dengan memastikan penggunaan bahasa yang tidak sensasi supaya laporan yang diterbitkan kekal seimbang serta tidak menimbulkan kegusaran masyarakat.

Sementara itu, Ketua Biro Berita Harian Kelantan Fazlina Abdul Rahim berkata cabaran liputan sempadan menjadi lebih rumit apabila kebanyakan kes melibatkan aspek keselamatan dan siasatan sensitif.

Beliau berkata akses ke lokasi tertentu juga kadangkala terhad atas faktor keselamatan, manakala masyarakat setempat sukar tampil berkongsi maklumat kerana bimbang terhadap ancaman atau risiko kepada diri mereka sendiri.

“Wartawan perlu berhati-hati supaya laporan yang disiarkan tidak menjejaskan operasi pihak berkuasa atau menimbulkan salah faham dalam masyarakat.

“Dalam masa sama, kami perlu memastikan laporan kekal seimbang, beretika dan berdasarkan fakta walaupun berdepan tekanan masa serta pelbagai sumber maklumat yang bercanggah,” katanya.

Mengenai peranan media dalam meningkatkan kesedaran rakyat berhubung isu keselamatan sempadan, Fazlina berkata jenayah rentas sempadan bukan isu baharu, sebaliknya telah lama berlaku walaupun pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan pihak berkuasa.

Justeru, beliau berkata media memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat serta memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai realiti yang berlaku di kawasan berkenaan. 

“Sebagai contoh, laporan berkaitan penutupan dan perobohan pangkalan haram serta tangkapan yang dilakukan pihak berkuasa membantu masyarakat memahami situasi sebenar selain menimbulkan rasa takut untuk melakukan kesalahan,” katanya.

Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, Fazlina berharap kerjasama antara pengamal media dan agensi keselamatan dapat terus diperkukuh menerusi komunikasi yang lebih terbuka, pantas dan berkesan.

“Hubungan baik antara media dan agensi keselamatan penting supaya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat lebih tepat, sahih dan tidak mengelirukan.

“Pada masa sama, saya berharap pengamal media terus diberi ruang menjalankan tugas secara profesional dan beretika, manakala agensi keselamatan dapat membantu dari segi akses maklumat serta penjelasan yang jelas kepada media,” katanya.

Majlis kemuncak HAWANA 2026 dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 20 Jun ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan