Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek
BUKIT GANTANG, 31 Mei (Bernama) -- Perak mengorak langkah memperluas penternakan kupang atau siput sudu dalam skala lebih besar dan menyasarkan pengembangan agresif hidupan akuakultur itu dalam masa beberapa tahun akan datang.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak Ahmad Zulkifli Ismail berkata sasaran itu berada pada landasan tepat menerusi permohonan kawasan baharu seluas kira-kira 72 hektar di Manjung Selatan kepada kerajaan negeri untuk tujuan pengembangan projek.
“Melalui inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama LKIM dan komuniti nelayan menerusi Pelan Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, penternakan kupang dilihat berpontensi besar dan mempunyai nilai komersial susulan peningkatan permintaan terhadap makanan laut segar,” katanya.
Ahmad Zulkifli berkata demikian kepada Bernama semasa meninjau Projek Ternakan Siput Sudu Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Tinggi di sini baru-baru ini.
Beliau berkata projek penternakan kupang atau nama saintifiknya perna viridis di Perak telah bermula pada 2015 dengan peruntukan kira-kira RM150,000 bagi pembangunan projek akuakultur itu dan turut menerima pelbagai peruntukan serta bantuan daripada Kerajaan Negeri Perak.
Ketika itu, usaha tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian inisiatif memperluas sektor akuakultur dan menyediakan sumber ekonomi tambahan kepada komuniti nelayan.
“Daripada projek kecil, ternakan siput sudu itu telah menghasilkan tuaian lebih 100 tan metrik sejak 10 tahun lepas yang diusahakan di dua kawasan ternakan iaitu Sungai Tinggi dan Manjung Selatan.
“Sekarang, permintaan terhadap siput sudu segar semakin meningkat dan kita mampu mengeluarkan kira-kira 500 kilogram semusim namun, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan dan disebabkan itu projek ini menjadi antara keutamaan LKIM untuk diperluas,” katanya.
Ahmad Zulkifli berkata benih kupang diperoleh dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang mempunyai sejarah lebih lama dalam industri itu, namun pengeluaran di Perak tetap mempunyai ciri tersendiri.
Pengeluaran kupang di Perak istimewa kerana dikatakan mempunyai isi lebih manis walaupun diternak di kawasan perairan yang mempunyai kadar kemasinan tinggi yang menjadi identiti membezakan hasil negeri itu daripada negeri lain.
Menurut Ahmad Zulkifli, keunikan rasa itu dipengaruhi oleh faktor habitat, keadaan persekitaran dan kualiti air kerana tahap kemasinan air, perubahan cuaca serta keadaan semula jadi perairan menjadi faktor penting dalam menentukan tumbesaran dan kualiti isi kupang.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Tinggi Abu Salim Karim berkata ketika ini, terdapat kira-kira 50 peserta terlibat dalam projek ternakan siput sudu di Sungai Tinggi dan Manjung Selatan di kawasan seluas 2.4 hektar.
Abu Salim berkata sebuah sangkar mempunyai lebih kurang 500 tali kupang dengan kini terdapat 10 sangkar di Sungai Tinggi dan menambah tempoh matang kupang ialah antara enam hingga sembilan bulan, dengan pulangan diterima mampu mencecah tiga kali ganda.
“Kita beli benih pada harga RM45 satu tali dan boleh menjual lebih RM100 jika dijaga dengan baik. Kalau seorang penternak melabur RM4,000 untuk benih, dia boleh dapat pulangan sehingga RM12,000,” katanya.
Abu Salim berkata musuh utama penternak ialah faktor cuaca yang sukar dijangka serta ancaman teritip, justeru proses membuang teritip perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk memastikan pertumbuhan siput sudu tidak terganggu.
Penternak siput sudu Ahmad Faney Mohamad Hashim, 49, berkata menyertai bidang itu sebagai aktiviti sampingan pada peringkat awal, bagi menambah pendapatan sebagai seorang nelayan.
Ahmad Faney yang terlibat dalam penternakan kupang sejak 2016 berkata hidupan akuakultur itu lebih mudah diuruskan berbanding ternakan ikan yang memerlukan pemantauan lebih rapi serta terdedah kepada pelbagai risiko penyakit.
“Boleh dikatakan sehingga 90 peratus boleh hidup dan tidak susah hendak diternak,” katanya.
Ahmad Faney berkata siput sudu memperoleh sumber makanan secara semula jadi daripada plankton serta bahan organik halus yang dibawa arus air, sekali gus mengurangkan keperluan kos makanan tambahan.
Namun, walaupun perusahaan itu tidak memerlukan penjagaan harian yang rumit, penternak perlu bersabar kerana pulangannya mengambil masa.
Ahmad Faney berkata satu tali kupang boleh menghasilkan purata antara 20 hingga 25 kilogram bagi satu kitaran tuaian bergantung kepada keadaan persekitaran dan tempoh penternakan.
“Hasilnya bergantung kepada penjagaan dan keadaan cuaca, tetapi kalau menjadi memang boleh bantu tambah pendapatan,” katanya yang mampu memperoleh kira-kira RM1,000 setiap kali menuai siput sudu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial