Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Studio Seni Di Beseri Jadi Medium Terapi Emosi, Lepaskan Tekanan

30/05/2026 12:21 PM

Oleh Nurul Syahirah Zulkifli

PADANG BESAR, 30 Mei (Bernama) -- Bermula sekadar ruang santai untuk aktiviti keluarga, sebuah studio seni santai atau art jamming di Kampung Lembah Biak, Beseri kini berkembang menjadi ‘wadah penyembuhan’ emosi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Terletak jauh daripada hiruk-pikuk bandar, studio itu bukan sahaja menjadi pilihan golongan profesional untuk melepaskan tekanan kerja, malah turut berfungsi sebagai ruang selamat bagi kanak-kanak berkeperluan khas mengekspresikan diri menerusi seni dan warna.

Ad Banner
Ad Banner

Pengasasnya, Abdul Azim Abdul Halim, 39, berkata idea mewujudkan ruang kreatif itu tercetus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 selepas beliau menyedari ramai individu berdepan tekanan emosi dan memerlukan aktiviti yang mampu menenangkan fikiran.

Anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mula menetap di Perlis pada 2019 bagi mengendalikan projek animasi sebelum jatuh cinta dengan suasana negeri itu dan mengambil keputusan membina perniagaan kreatifnya sendiri di situ.

“Ketika PKP, saya lihat ramai orang tertekan, jadi saya terfikir untuk mewujudkan ruang santai yang membolehkan mereka meluahkan perasaan melalui seni. Pada awalnya, kami hanya mahu menyediakan aktiviti keluarga, namun tidak sangka ia akhirnya menjadi tempat orang ramai mencari ketenangan dan melepaskan tekanan,” katanya kepada Bernama.

Lulusan kursus animasi Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka itu berkata, pengalamannya dalam industri grafik dan multimedia sejak 2009 banyak membantu beliau membentuk konsep studio yang menekankan kebebasan berkarya.

Menurut Abdul Azim, antara pelanggan tetap studio seni itu ialah doktor, jururawat, pensyarah universiti serta penjawat awam yang menjadikan aktiviti melukis sebagai terapi emosi selepas penat bekerja. Malah, ada pelanggan yang menangis ketika melukis kerana terlalu lama memendam perasaan.

“Ada pelanggan yang datang sambil berkongsi pengalaman. Di sini, mereka bebas berkarya tanpa tekanan atau penilaian. Ramai yang sebenarnya berminat melukis sejak kecil tetapi tidak berpeluang meneruskannya,” katanya.

Katanya studio seni itu turut mengalu-alukan kehadiran kanak-kanak autisme dan golongan berkeperluan khas lain bagi membantu mereka mengekspresikan emosi serta meningkatkan keyakinan diri menerusi aktiviti seni.

“Kami mahu menjadikan ruang ini mesra semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak istimewa kerana seni mampu menjadi medium komunikasi dan terapi yang sangat baik untuk mereka,” katanya.

Abdul Azim berkata studio seni itu turut mendapat perhatian Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis yang memberi peluang kepadanya memperluaskan perkhidmatan termasuk menyertai pameran di Kuala Lumpur.

Katanya beliau berharap dapat membangunkan studio seni itu sebagai pusat sehenti seni dan digital yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Seni bukan sekadar lukisan, tetapi ruang kebebasan untuk orang ramai meluahkan apa yang terbuku di hati,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan studio seni berkenaan, Sakinah Abdul Rahman, 35, dari Changlun, Kedah, yang merupakan penjawat awam, berkata beliau pertama kali mengunjungi lokasi itu sempena cuti sekolah selepas mengetahui mengenainya menerusi media sosial.

“Saya mencari aktiviti untuk mengisi masa cuti sekolah dan apabila melihatnya di media sosial, saya tertarik untuk mencuba sendiri. Bila datang sini, saya rasa melukis sangat menenangkan dan boleh menjadi hobi baharu untuk melepaskan tekanan kerja,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan