Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Feri Percuma Sempena Hari Wesak Dan Hari Keputeraan Rasmi Agong

30/05/2026 10:31 AM

GEORGE TOWN, 30 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mengumumkan perkhidmatan feri percuma selama dua hari pada esok dan 1 Jun kepada warganegara Malaysia sempena Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata tambang percuma itu melibatkan perjalanan dua hala dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini dan sebaliknya.

“Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen berterusan SPPP dan PPSB dalam memudahkan perjalanan rakyat Malaysia, terutamanya pada musim perayaan bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari dan efisien,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Yeoh berkata sebanyak 7,127 penumpang pejalan kaki dan 2,221 pengguna kenderaan dua roda menggunakan perkhidmatan feri bagi perjalanan dua hala pada sambutan Hari Wesak tahun lepas.

Beliau berkata jumlah itu menyumbang kepada keseluruhan statistik perkhidmatan feri bagi 2025 yang mencatatkan 2,347,066 penumpang pejalan kaki dan 784,065 penumpang kenderaan dua roda.

Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif feri percuma itu dapat membantu mengurangkan beban kewangan rakyat, di samping memberi peluang kepada orang ramai menyambut Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong dengan lebih bermakna.

Yeoh berkata SPPP dan PPSB kekal komited mengambil pelbagai langkah bagi memastikan perkhidmatan feri berjalan lancar, dengan aspek keselesaan, keselamatan dan kepuasan pelanggan terus menjadi keutamaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan