Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lapor Ibadah Korban Bagi Pastikan SOP Dipatuhi, Elak Insiden - Ketua Kampung Ulu Tiram

29/05/2026 06:42 PM

JOHOR BAHRU, 29 Mei (Bernama) -- Penduduk yang melaksanakan ibadah korban terutama secara persendirian dinasihatkan supaya melaporkan kepada ketua kampung bagi memastikan ia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Kampung Ulu Tiram Shazrul Idham Abd Aziz berkata sebarang maklumat yang diterima bagi tujuan ibadah korban akan dilaporkan kepada Penggerak Masjid dan Surau Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing bagi tujuan permohonan permit.

“Langkah berkenaan bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban dapat dilakukan mengikut garis panduan serta mengurangkan sebarang risiko yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Tenang di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mengenai kejadian seorang lelaki maut ditanduk kerbau ketika membantu ibadah korban di kampung berkenaan pada Rabu lepas, beliau berkata aktiviti korban yang dilakukan itu adalah di luar pengetahuannya. 

Beliau berkata kejadian sama turut berlaku kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian yang membabitkan seorang lelaki patah tiga tulang rusuk di Batu 19 Kampung Sungai Tiram, namun kawasan berkenaan bukan di bawah seliaannya.

Shazrul Idham berkata terdapat tiga kampung di bawah kawasan seliaannya di Ulu Tiram iaitu Kampung Banjar, Kampung Tenang dan Kampung Tiram.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa yang berusia berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia pada 11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat kecederaan saluran darah (vaskular) kaki kiri.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan