Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kaamatan Simbol Perpaduan, Kesyukuran Dan Kekuatan Warisan Budaya - Aaron

29/05/2026 02:52 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) --  Sambutan Pesta Kaamatan perlu dilihat bukan sahaja sebagai perayaan menuai hasil tuaian, tetapi juga simbol perpaduan, kesyukuran dan kekuatan warisan budaya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus di Sabah.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata perayaan itu menjadi medium penting dalam menyatukan kasih sayang, persefahaman dan kebersamaan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Inilah kekuatan sebenar Malaysia, kepelbagaian budaya yang tidak memecahkan kita, sebaliknya menyatukan kita sebagai satu keluarga besar," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Aaron berkata generasi muda diseru untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai pewaris budaya dan penjaga legasi bangsa serta identiti negara dengan memanfaatkan teknologi dan platform moden untuk memastikan identiti budaya terus relevan dan dihormati.

"Jika generasi terdahulu mempertahankan adat dan budaya dengan pengorbanan serta semangat cintakan warisan, maka generasi hari ini perlu meneruskannya dengan ilmu, kebanggaan dan tindakan.

"Warisan budaya tidak boleh hanya hidup di pentas perayaan atau dalam muzium semata-mata, ia perlu terus bernafas dalam kehidupan harian, dipelajari, dihargai dan diwariskan kepada generasi seterusnya," katanya.

Beliau berkata pemeliharaan warisan budaya adalah elemen penting dalam pembinaan negara bangsa kerana sesebuah negara yang kuat bukan hanya dibina melalui pembangunan ekonomi dan teknologi, tetapi juga melalui rakyat yang mengenali akar budaya mereka, menghormati kepelbagaian dan mempunyai rasa bangga terhadap identiti negara.

Aaron turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus di Sabah serta rakyat Malaysia yang meraikannya esok.

Pesta Kaamatan merupakan pesta menuai yang disambut masyarakat di Sabah sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang lumayan, dan diraikan sepanjang Mei dengan acara kemuncak pada 30 serta 31 Mei setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan