KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengarahkan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengemukakan laporan lengkap secepat mungkin berhubung insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin di sini, semalam.
APAD dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan laporan berkenaan akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor penyumbang kejadian.
Menurut kenyataan itu penelitian tersebut juga bertujuan menentukan sama ada wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.
“Selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan Anthony Loke APAD telah membuka kertas siasatan serta-merta bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren,” maklum kenyataan itu.
APAD memandang serius insiden berkenaan dan telah melaksanakan pemeriksaan tapak bagi menilai keadaan awal serta memastikan tindakan segera diambil oleh pengendali.
Pemeriksaan pertama diketuai Ketua Pengarah APAD Ahmad Radhi Maarof bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel serta Bahagian Perancangan Rel, manakala pemeriksaan kedua diadakan pada 3 petang semalam melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Sesi pemeriksaan tapak kedua pula diadakan bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah-langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengendali,” menurut kenyataan itu.
APAD menegaskan keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam merupakan perkara yang tidak boleh dikompromikan dalam apa jua keadaan.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional, manakala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715],” maklum APAD.
Selain itu, siasatan turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715, termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel.
APAD akan terus bekerjasama rapat dengan MOT serta agensi berkaitan bagi memastikan tahap keselamatan dan keyakinan orang awam terhadap sistem pengangkutan awam rel sentiasa terpelihara.
Dalam insiden pagi semalam, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berdekatan Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan, namun kesemua 25 penumpang yang terlibat selamat dipindahkan tanpa sebarang kecederaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial