Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MMM Perkukuh Kawal Selia Kendiri Media Dalam Era Digital- Radzi

29/05/2026 12:06 PM

Oleh Lucia Terey John

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) yang diwujudkan pada 2025 menjadi mekanisme baharu bagi memperkukuh kawal selia kendiri industri media negara dalam usaha menangani isu etika, kebebasan media dan cabaran era digital.

Setiausaha Majlis MMM Radzi Razak berkata penubuhan badan itu penting bagi menyediakan platform lebih adil, profesional dan bebas dalam mengurus isu berkaitan media, khususnya ketika kes membabitkan industri semakin dipengaruhi tekanan media sosial serta tindakan penguatkuasaan.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata ketiadaan forum industri yang sah, bebas dan tersusun sebelum ini menyebabkan pelbagai isu termasuk aduan terhadap media, penetapan standard kewartawanan serta soal kebebasan media sukar diurus secara menyeluruh dalam satu kerangka profesional.

“Keperluan terhadap MMM menjadi semakin mendesak apabila industri media berdepan cabaran baharu seperti kecerdasan buatan (AI), gangguan digital, doxxing, tekanan ekonomi bilik berita dan kemerosotan kepercayaan awam terhadap media,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

Beliau berkata mandat utama MMM di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) adalah untuk membina sistem kawal selia kendiri industri media dan bukannya bertindak sebagai agensi penguatkuasaan kerajaan.

Radzi berkata antara peranan MMM termasuk menetapkan standard etika kewartawanan, menyediakan kod tata kelakuan, mengurus mekanisme aduan serta memperkukuh latihan dan pembangunan profesional pengamal media.

Katanya struktur MMM turut direka bentuk bagi memastikan tiada monopoli oleh mana-mana pihak dengan keanggotaan melibatkan syarikat media, persatuan media, pengamal media bebas serta ahli bukan media bagi memastikan wujud semak dan imbang dalam proses membuat keputusan.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kekeliruan dalam kalangan pengamal media terhadap fungsi sebenar MMM walaupun badan itu dikuatkuasakan sejak 14 Jun 2025.

“Ada yang melihat MMM seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ada yang menganggapnya sebagai agensi kerajaan dan ada juga yang menyangka MMM boleh terus menghukum atau mengarahkan mana-mana organisasi media. Hakikatnya, MMM ialah institusi kawal selia kendiri yang memerlukan penglibatan industri sendiri,” katanya.

Menurut beliau, keberkesanan MMM perlu diukur berdasarkan struktur, proses dan rekod keputusan, bukan sekadar dakwaan mengenai kebebasannya.

“MMM mesti berani menegur media jika berlaku pelanggaran etika dan pada masa sama mempertahankan wartawan jika mereka ditekan ketika menjalankan tugas. Itu ujian sebenar kepada konsep kawal selia kendiri,” katanya.

Mengulas persepsi bahawa MMM masih kurang menonjol dalam beberapa isu membabitkan wartawan dan kebebasan media, Radzi berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana masyarakat mahu melihat peranan institusi berkenaan dengan lebih jelas.

“Kritikan itu ada asas dari sudut persepsi. Sebagai institusi baharu, jika hanya bergerak di belakang tabir, orang awam dan pengamal media tidak akan nampak fungsinya. MMM tidak boleh terlalu reaktif, tetapi juga tidak boleh terlalu senyap,” katanya.

Berhubung isu doxxing, pendedahan maklumat peribadi wartawan dan gangguan digital, beliau berkata MMM memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan pengamal media serta kebebasan media.

Katanya antara langkah yang dilaksanakan termasuk pembangunan mekanisme aduan menerusi borang rasmi dalam talian bagi membolehkan setiap aduan direkod, disaring dan diurus secara lebih sistematik.

“MMM juga mula menggunakan pendekatan ‘standards support’ dan bukan hanya ‘disciplinary response’.

“Ini bermaksud apabila berlaku isu keselamatan wartawan, etika liputan atau gangguan digital, MMM boleh membantu menilai situasi, memberi nasihat serta membangunkan garis panduan supaya insiden sama tidak berulang,” katanya.

Dengan membawa tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, Radzi berharap sambutan HAWANA tidak sekadar menjadi acara seremonial, sebaliknya berfungsi sebagai platform untuk membincangkan isu sebenar industri media negara.

Dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana, kemuncak sambutan HAWANA yang bakal berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini menjadi platform utama negara dalam mengiktiraf sumbangan, dedikasi dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan