JOHOR BAHRU, 26 Mei (Bernama) -- KPJ Kluang Specialist Hospital (KPJ Kluang) melakar sejarah sebagai hospital pertama di selatan tanah air yang berjaya melaksanakan prosedur ablasi medan berdenyut (PFA) FARAPULSE bagi merawat gangguan ritma jantung.
KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dalam kenyataan hari ini memaklumkan prosedur menggunakan teknologi PFA FARAPULSE diketuai Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi Dr Ng Kim Fong bersama pasukan elektrofisiologi jantung hospital berkenaan.
Menurut kenyataan itu, berbeza dengan kaedah ablasi konvensional yang menggunakan tenaga haba, teknologi berkenaan menghantar denyutan elektrik terkawal untuk menyasarkan tisu jantung yang tidak normal secara lebih tepat di samping meminimumkan kesan terhadap tisu sekeliling.
“Sebagai pendekatan invasif minimum, PFA berpotensi menawarkan beberapa kelebihan dari segi klinikal kepada pesakit bersesuaian, termasuk kurangnya rasa tidak selesa dan risiko pembedahan serta tempoh prosedur dan pemulihan lebih singkat,” menurut kenyataan itu.
Teknologi yang dilaksanakan oleh seorang pakar residen itu juga mencerminkan kemajuan berterusan dalam rawatan gangguan ritma jantung dan memperluas akses kepada rawatan ritma jantung yang lebih maju di bawah rangkaian KPJ Health System (KPJHS), khususnya bagi pesakit dengan kes yang kompleks.
Hospital itu turut mencatatkan pencapaian sebagai hospital swasta pertama di rantau ini yang melaksanakan prosedur menggunakan peranti Subcutaneous Implantable Cardioverter Defibrillator (S-ICD), sekali gus memperkukuh perkhidmatan kardiak khusus yang ditawarkan.
S-ICD ialah sebuah peranti yang digunakan untuk memantau ritma jantung dan menawarkan terapi sekiranya berlaku aritmia yang mengancam nyawa. Berbeza dengan sistem konvensional, peranti itu diimplan di bawah kulit dan tiada sebarang elektrod yang diletakkan di dalam jantung atau saluran darah.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh perkhidmatan kardiak khusus di hospital berkenaan, khususnya dalam memperluas akses kepada rawatan gangguan ritma jantung lanjutan di rantau selatan.
Beliau berkata pengenalan prosedur seperti FARAPULSE PFA memperlihatkan hospital dalam rangkaian itu terus memperkukuh keupayaan subkepakaran serta mengadaptasi pendekatan rawatan lebih baharu, yang menyokong penjagaan lebih tepat dan kurang invasif bagi pesakit.
“Berpandukan aspirasi Care for Life, kami kekal komited dalam memastikan komuniti dapat mengakses rawatan pakar lanjutan yang lebih dekat dengan mereka, sekali gus mempertingkatkan kecemerlangan klinikal,” katanya.
Dr Ng pula berkata PFA menyokong pendekatan yang lebih bersasar bagi rawatan gangguan ritma jantung apabila teknologi itu membolehkan prosedur dilaksanakan dengan lebih tepat, di samping mengurangkan kesan terhadap tisu jantung di sekelilingnya.
“Seiring dengan perkembangan bidang elektrofisiologi kardiak, pendekatan sebegini membantu memperluaskan pilihan rawatan serta menyokong penjagaan yang lebih selamat dan kurang invasif bagi pesakit yang sesuai,” katanya.
KPJ Kluang sebagai satu-satunya hospital swasta di Kluang yang dilengkapi Makmal Kateterisasi telah melaksanakan hampir 1,450 prosedur kardiak, membuktikan pengalaman yang semakin berkembang dalam intervensi kardiovaskular serta peranan dalam memperluas akses kepada rawatan kardiak khusus di rantau ini.
Kemajuan itu turut menyokong usaha dalam mengurangkan keperluan pesakit untuk berkunjung ke pusat bandar utama bagi mendapatkan rawatan kardiak lanjutan mahupun susulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial