KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Beberapa perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Utara mengalami kelewatan ekoran insiden kecurian kabel sepanjang kira-kira 100 meter di KM95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting.
Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu menyebabkan gangguan kepada sistem persemboyanan di laluan itu sekali gus menjejaskan operasi perkhidmatan tren di sektor utara.
“Kejadian dikesan oleh Polis Bantuan KTMB pada awal pagi ini selepas pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kehilangan kabel,” menurut kenyataan itu.
KTMB memaklumkan beberapa perkhidmatan KTM Komuter Utara yang terlibat mengalami kelewatan kira-kira 23 sehingga 40 minit manakala semua perkhidmatan ETS di laluan itu dijangka mengalami kelewatan antara tiga sehingga 90 minit.
Pasukan teknikal KTMB sedang giat melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan bagi menstabilkan semula operasi serta memastikan pergerakan tren kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin.
Penumpang disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung status perjalanan dan kelewatan tren melalui media sosial rasmi KTMB serta merujuk petugas stesen bagi mendapatkan bantuan lanjut.
“KTMB memandang serius insiden kecurian kabel kerana bukan sahaja menjejaskan kelancaran operasi tren, malah turut memberi implikasi terhadap aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sistem perkhidmatan rel negara.
“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi dan menghargai kesabaran serta kerjasama penumpang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial