Oleh Nabila Uzma Abd Kadir dan Muhammad Muaz Mazeli
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Hari ini, bersamaan 9 Zulhijjah, yang juga merupakan Hari Arafah, wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam di Malaysia untuk memperbanyakkan doa, zikir, taubat dan muhasabah diri dalam usaha meraih keampunan serta rahmat Allah SWT pada hari yang penuh keberkatan dan kemuliaan.
Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Amini Amir Abdullah berkata umat Islam disarankan agar banyak berdoa memohon keampunan, kesihatan, rezeki yang halal serta kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia.
“Hari Arafah jelas disebut dalam hadis Rasulullah SAW bahawa tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-Nya daripada api neraka selain Hari Arafah.
“Rasulullah SAW turut bersabda sebaik-baik doa ialah doa yang dipanjatkan pada Hari Arafah (Hadis Riwayat Al-Tarmizi), sekali gus menunjukkan besarnya peluang untuk umat Islam memohon keampunan dan rahmat Allah SWT,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Hari Arafah wajar dijadikan ruang memperkukuh penghayatan generasi muda terhadap makna doa sebagai manifestasi pergantungan seorang hamba kepada Allah SWT, bukan sekadar ritual ibadah.
“Dalam dunia moden yang dipenuhi tekanan emosi, persaingan hidup dan krisis identiti, kekuatan spiritual amat penting untuk membina jiwa yang tenang dan seimbang.
“Saya melihat generasi muda hari ini memerlukan pengisian kerohanian yang padu agar mereka tidak terperangkap dalam kekosongan spiritual, budaya materialisme dan pengaruh melampau media sosial,” katanya.
Justeru, Hari Arafah sepatutnya dijadikan ruang memperbaharu iman dan membina harapan hidup yang lebih bermakna
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata umat Islam digalakkan memperbanyak zikir pada hari tersebut.
“Pada Hari Arafah juga umat Islam digalakkan memperbanyakkan zikir. Antara zikir terbaik yang dianjurkan ialah ‘La ilaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku walahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai’in qadir’,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Muhammad Akmalludin Mohd Hamdan berkata ibadah puasa pada Hari Arafah juga mempunyai kelebihan besar sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW.
“Puasa pada Hari Arafah juga mempunyai kelebihan besar kerana berpotensi menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
“Rasulullah bersabda, puasa pada Hari Arafah ini aku berharap kepada Allah agar mengampunkan dosa-dosa pada tahun sebelumnya dan juga tahun berikutnya,” katanya.
Muhammad Akmalludin berkata kelebihan tersebut menjadi tanda kasih sayang Allah SWT yang melimpahkan ganjaran berganda kepada umat Islam, sekali gus memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah dan tidak mensia-siakan kesempatan yang diberi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial