KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Lazada Malaysia kini kembali dengan kempen Lazada 6.6 Super WOW Sale bertemakan Catch Your Best Deals, ketika rakyat Malaysia berdepan persekitaran perbelanjaan lebih berhati-hati, dengan pengguna kini semakin melihat lebih daripada sekadar diskaun terhadap produk tulen dan berbaloi, serta disokong pengalaman beli-belah yang boleh dipercayai.
Kempen yang memfokuskan kepada membantu pengguna membuat pembelian lebih bijak, bukan sekadar lebih murah, menerusi jenama dipercayai LazMall, serta penemuan produk berasaskan kecerdasan buatan (AI), dijadual berlangsung bermula jam 8 malam pada 5 Jun hingga 11.59 malam pada 8 Jun.
Bercakap pada majlis pelancaran Lazada 6.6 Super WOW Sale di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Kaya Qin berkata pengguna kini semakin mencari produk yang menawarkan nilai, ketulenan, kualiti dan jaminan, terutama apabila mereka menjadi lebih selektif terhadap apa yang dibeli, tempat mereka membelinya dan sama ada ia benar-benar berbaloi dengan perbelanjaan mereka.
Beliau berkata menerusi LazMall, platform itu memberi akses kepada pembeli kepada kedai rasmi jenama, petunjuk penjual yang dipercayai, ulasan produk, penilaian, syarat pemulangan serta perlindungan platform.
Qin berkata berdasarkan laporan Cube yang dikeluarkan pada November 2025 dengan kerjasama Lazada, sebanyak 73 peratus daripada 1,000 responden Malaysia yang dikaji, bersedia membayar lebih untuk pembelian di kedai-kedai di pusat beli belah, dengan antara sebab utama termasuk jaminan kualiti, produk tulen dan akses kepada promosi jenama rasmi.
“Agak jelas bahawa persaingan sebenar dalam e-dagang kini bukan lagi sekadar harga, tetapi kepercayaan. Apabila rakyat Malaysia menjadi lebih teliti dalam setiap perbelanjaan ringgit, Catch sebenar ialah membantu mereka membuat pembelian yang lebih baik, bukan sekadar lebih murah, melalui produk tulen, penjual yang diyakini, penemuan yang lebih pintar serta sokongan selepas pembelian,” katanya.
Qin berkata kempen 6.6 bukan lagi sekadar acara jualan mega bagi Lazada, sebaliknya turut menjadi detik membina kepercayaan, dengan setiap jenama dan kedai yang disahkan, di LazMall serta cadangan berasaskan AI memainkan peranan membantu rakyat Malaysia menapis lambakan pilihan dan membuat keputusan pembelian dengan lebih yakin.
Beliau berkata Lazada turut memperkukuh keyakinan pengguna melalui langkah seperti jaminan pulangan wang lima kali ganda bagi produk LazMall yang didapati tidak tulen.
“Dan sekiranya berlaku apa-apa, terdapat jaminan pulangan wang lima kali ganda untuk produk berskala besar yang tidak tulen. Pada masa sama, kami juga menawarkan pemulangan percuma dalam tempoh 15 hari bagi semua produk berskala besar. Ini sangat penting dalam e-dagang,” katanya.
Beliau berkata Lazada juga telah memperkasakan platformnya dengan ekosistem AI Alibaba menerusi pengenalan lima ejen AI, termasuk Lazzie Chat, yang membantu pengguna membandingkan produk, mencari barangan yang sesuai dan membuat keputusan pembelian dengan lebih pantas ketika kempen jualan dalam talian berskala besar.
“Menerusi ciri ringkasan AI kami, sistem dapat membuat rumusan dan membantu pengguna memilih apa yang terbaik untuk mereka. Malah, ejen membeli-belah LazyChat sahaja kini telah merangkumi 2.3 juta produk di platform, satu jumlah yang amat besar, selari dengan tema hari ini, dengan AI akhirnya boleh membantu anda membuat pilihan terbaik,” katanya.
Antara jenama tempatan yang diketengahkan sepanjang kempen itu ialah GINTELL, HABIB, Signature Market, TTRacing, OxWhite dan SAMEL, sekali gus mencerminkan usaha Lazada dalam memperkukuh pertumbuhan jenama Malaysia dalam ekonomi digital.
“Kami amat berbangga dan bertekad untuk menyokong semangat membeli produk tempatan Malaysia. Lazada menyediakan platform yang sangat dipercayai sebagai landasan untuk menyokong dan membantu semua juara tempatan ini berkembang bersama kami,” kata Qin.
Kempen itu juga menyokong inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan menonjolkan jenama Malaysia serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama jenama global di platform berkenaan.
Sepanjang tempoh kempen 6.6 berlangsung, platform e-dagang itu akan menawarkan pelbagai manfaat eksklusif termasuk baucar bernilai sehingga RM6,666, diskaun LazFlash sehingga 90 peratus, baucar tambahan kedai sehingga 15 peratus, All-Out-Surprise Deals serta ganjaran permainan interaktif dalam aplikasi menerusi LazCoins.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial