Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Seksyen 3 WCE Dijangka Siap Hujung Tahun Ini, Dibuka Pada 2027

23/05/2026 06:05 PM

SHAH ALAM, 23 Mei (Bernama) -- Seksyen 3 Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka dibuka kepada pengguna pada suku pertama tahun depan, berikutan jajaran itu hampir siap menjelang akhir tahun ini.

West Coast Expressway Holdings Berhad (WCEHB) dalam kenyataan memaklumkan kemajuan pembinaan seksyen berkenaan menunjukkan momentum positif susulan kejayaan penyelesaian pengambilan tanah melibatkan 19 penduduk di Kampung Jawa, Klang pada Disember tahun lepas.

“Kerja-kerja teknikal dan pembinaan berjalan dengan lancar sejak beberapa bulan lepas, dengan struktur utama termasuk tiang utama dan komponen jambatan bertingkat kini mula kelihatan di tapak projek.

Ad Banner
Ad Banner

“Kemajuan projek terus meningkat dan kami optimis seksyen ini dapat disiapkan menjelang hujung tahun sebelum memulakan operasi pada suku pertama tahun depan,” menurut kenyataan itu.

Seksyen 3 amat penting kerana akan melengkapkan hubungan antara Seksyen 1 dengan Seksyen 2 selain meningkatkan pergerakan trafik dan menambah baik keterhubungan untuk kenderaan berat antara wilayah utara dengan selatan Semenanjung.

WCEHB memaklumkan sebaik sahaja beroperasi, seksyen itu dijangka mengukuhkan lagi peranan lebuh raya berkenaan sebagai koridor strategik alternatif kepada Lebuhraya Utara–Selatan, membantu mengurangkan kesesakan dan menambah baik keseluruhan pergerakan trafik di sepanjang koridor pantai barat.

“Seksyen 3 yang siap nanti juga akan meningkatkan keterhubungan ke beberapa lebuh raya utama dan zon perindustrian di Selangor, di samping menyumbang kepada pergerakan logistik yang lebih lancar, aktiviti ekonomi serantau dan kecekapan perjalanan untuk pengguna lebuh raya.

“WCE mengulangi komitmen untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan selamat, cekap dan mengikut piawaian kawal selia dan operasi,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan