Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pertandingan Permainan Tradisional Terengganu Tarik Minat Generasi Muda

23/05/2026 04:20 PM

Oleh Mohd Zaid Mohd Noor

DUNGUN, 23 Mei (Bernama) -- Penganjuran Pertandingan Permainan Tradisional Peringkat Negeri Terengganu di Muzium Permainan Rakyat di sini hari ini menjadi medan penting dalam usaha memelihara warisan budaya, sekali gus menarik minat generasi muda.

Pertandingan yang dianjurkan Lembaga Muzium Negeri Terengganu itu mempertandingkan pelbagai permainan tradisional termasuk bola tin, bola beracun, sepak raga ratus, selambut, congkak, rampai tradisi, dam aji dan tarik tali, dengan disertai sebanyak 384 peserta dari seluruh negeri berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

Nur Muhammad Anuar, 29, berkata beliau menyertai pertandingan itu kerana mempunyai minat mendalam terhadap warisan budaya dan mahu memastikan permainan berkenaan terus dikenali masyarakat.

Beliau berkata pertandingan itu juga menjadi platform memperkenalkan keunikan warisan budaya tempatan kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan kanak-kanak.

“Saya berharap usaha memartabatkan permainan tradisional diperkasakan secara berterusan menerusi aktiviti komuniti supaya warisan berkenaan tidak hilang ditelan arus pemodenan,” katanya ketika ditemui Bernama pada pertandingan itu di sini hari ini.

Muhammad Ammar Syahmi, 23, pula berkata beliau teruja dapat menyaksikan beberapa permainan tradisional yang kini semakin jarang dipertontonkan kepada masyarakat.

Beliau berkata setiap permainan tradisional mempunyai keunikan yang mencerminkan warisan budaya masyarakat dan perlu dipertahankan serta diwarisi generasi akan datang.

“Namun, kebanyakan remaja hari ini tidak lagi bermain permainan itu kerana mereka tidak kenal permainan-permainan berkenaan selepas ia tidak lagi popular,” katanya.

Seorang peminat permainan tradisional, Qistina Ayuni Zulkipli, 23, dari Hulu Terengganu berkata beliau turut bimbang aktiviti warisan itu semakin pupus dan lenyap ditelan zaman berikutan kurangnya pendedahan awal kepada generasi muda.

Beliau berkata permainan tradisional perlu terus dipelihara golongan muda kerana ia bukan sahaja menjadi hiburan masyarakat dahulu tetapi berperanan mengeratkan hubungan sosial, memupuk semangat kerjasama serta menyemai nilai budaya dan jati diri.

“Berbeza dengan masyarakat terdahulu yang menjadikan permainan tradisional sebagai rutin harian, kanak-kanak ketika itu turut didedahkan dengan pelbagai permainan serta warisan budaya sejak usia kecil.

“Namun, generasi kanak-kanak hari ini semakin kurang mengenali tradisi berkenaan berikutan perkembangan pesat teknologi gajet serta kemunculan pelbagai aplikasi permainan maya yang lebih mendapat perhatian,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Muzium Daerah Dungun Noraini Shamsuddin berkata pertandingan itu bertujuan memberi pendedahan kepada generasi hari ini mengenai warisan tradisional yang ditinggalkan oleh masyarakat terdahulu.

“Pada masa sama, kami telah merencana pelbagai program bagi merancakkan permainan tradisional sebagai usaha melestarikan warisan budaya Melayu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan