Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPJ Selangor Hospital Pertama Di Asia Pasifik Laksana Pembedahan Skru Simen HOBBIT MIS

22/05/2026 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- KPJ Selangor Specialist Hospital (KPJ Selangor) berjaya melaksanakan prosedur Pembedahan Invasif Minimum (MIS) Skru Simen HOBBIT pertama di Malaysia dan rantau Asia Pasifik. 

Pencapaian itu sekali gus mencatatkan satu pencapaian penting dalam rawatan tulang belakang yang kompleks di bawah KPJ Health System (KPJHS).

KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini memaklumkan prosedur itu melibatkan penggunaan skru simen HOBBIT MIS, iaitu teknologi penetapan tulang belakang terkini bagi menyokong ketepatan dan kestabilan pembedahan yang lebih baik dalam prosedur tulang belakang kompleks.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebagai pendekatan invasif minimum, prosedur ini direka untuk mengurangkan kerosakan tisu serta menyokong pemulihan pasca pembedahan yang lebih cepat berbanding pembedahan tulang belakang konvensional secara terbuka yang lazimnya melibatkan luka hirisan pembedahan lebih besar dan tempoh pemulihan lebih panjang,” menurut kenyataan itu.

Prosedur itu diketuai Pakar Bedah Ortopedik (Tulang Belakang) KPJ Selangor Dr Shaharuddin Abdul Rhani dan Dr Jamal Azmi Mohamad bersama-sama pasukan pembedahan multidisiplin hospital itu.

Berhubung pencapaian itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pencapaian itu mencerminkan kekuatan kepakaran khusus yang semakin berkembang di bawah KPJ Health System serta usaha berterusan mereka dalam memperkukuh keupayaan rawatan kompleks di hospital-hospital KPJ.

“Kejayaan menjadi hospital pertama di Malaysia dan rantau Asia Pasifik melaksanakan prosedur ini mengukuhkan komitmen kami dalam memperkasakan keupayaan pembedahan invasif minimum yang menyokong rawatan pembedahan yang lebih tepat, pemulihan yang lebih baik dan pengalaman pesakit yang lebih meningkat.

“Berpandukan Care for Life kami, kami kekal komited dalam menerapkan inovasi untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan kesihatan serta hasil rawatan pesakit,” katanya. 

Sementara itu, Dr Jamal Azmi yang juga Pengarah Perubatan di KPJ Selangor berkata pencapaian itu mencerminkan kepakaran serta koordinasi kukuh pasukan multidisiplin mereka dalam melaksanakan prosedur tulang belakang kompleks secara selamat dan berkesan.

“Kami kekal komited untuk terus memperkukuh rawatan tulang belakang melalui amalan berasaskan bukti, pembelajaran berterusan dan pendekatan penjagaan yang mengutamakan keselamatan pesakit, pemulihan dan hasil jangka panjang,” katanya. 

Sementara itu, Dr Shaharuddin berkata pembedahan tulang belakang invasif minimum terus berkembang pesat dan teknologi seperti Skru Simen HOBBIT MIS membolehkan mereka melaksanakan prosedur kompleks dengan ketepatan yang lebih tinggi di samping mengurangkan impak pembedahan terhadap pesakit.

“Pendekatan ini dapat menyokong pemulihan yang lebih cepat, mengurangkan ketidakselesaan selepas pembedahan serta mempercepat proses pemulihan yang merupakan aspek penting dalam rawatan tulang belakang moden,” katanya. 

Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan KPJ Healthcare dalam memperkukuh rawatan tulang belakang kompleks dan invasif minimum menerusi ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih berhubung dengan menggabungkan kepakaran multidisiplin, standard klinikal bersama serta integrasi Amalan, Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi.

Untuk maklumat lanjut, layari https://kpjhealth.com.my/selangor/ atau hubungi 03-5543 1111.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan