KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dipilih semula sebulat suara sebagai Presiden ASEAN Co-operative Organisation (ACO) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Agung ACO di Pulau Pinang semalam, sekali gus meneruskan kepimpinan Malaysia dalam organisasi koperasi serantau itu selepas beliau memegang jawatan tersebut sejak 2014.
Abdul Fattah berkata pemilihan sebulat suara itu mencerminkan keyakinan negara anggota ASEAN terhadap kepimpinan Malaysia dalam memperkukuh gerakan koperasi serantau dan memperluas kerjasama ekonomi rakyat pada peringkat antarabangsa.
“ACO perlu menjadi platform utama dalam memperkukuh ekonomi rakyat ASEAN melalui kerjasama strategik antara koperasi, khususnya dalam sektor keterjaminan makanan, halal, pelancongan komuniti, pendigitalan dan tenaga hijau.
“Kita mahu koperasi ASEAN menjadi kuasa ekonomi rakyat yang lebih berdaya tahan, inklusif dan kompetitif pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Fattah berkata mandat baharu itu akan dimanfaatkan untuk memperkukuh jaringan perdagangan Cooperative-to-Cooperative (C2C) di ASEAN selain membuka lebih banyak peluang pasaran kepada produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia pada peringkat global.
Beliau berkata ACO juga komited memperkasakan koperasi belia, koperasi wanita, koperasi sekolah dan koperasi komuniti sebagai pemacu pembangunan mampan ASEAN pada masa hadapan.
Mesyuarat Agung ACO kali ini menghimpunkan kepimpinan koperasi dari Malaysia, Singapura, Filipina, Kemboja, Thailand dan Timor Leste bagi membincangkan agenda pemerkasaan ekonomi, pembangunan perdagangan koperasi serantau dan kerjasama strategik masa hadapan.
ACO ditubuhkan pada 6 Dis 1977 menerusi deklarasi badan koperasi induk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serta pembangunan gerakan koperasi di rantau ASEAN.
ACO kini dianggotai 10 negara ASEAN dengan kekuatan sebanyak 347,599 koperasi dan lebih 66.6 juta anggota di seluruh rantau ini.
Menurut kenyataan itu, gerakan koperasi ASEAN menyumbang hingga kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN atau bersamaan USD185 bilion pada 2025 selain menjana lebih 11 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial