Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Petra Lancar SuRIA Home, Rebat Solar Hingga RM3,000 Untuk Pengguna Domestik - Fadillah

22/05/2026 11:28 AM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Program Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA) Home bagi membantu rakyat mengurangkan kos elektrik menerusi pemasangan sistem solar bumbung kediaman ketika negara berdepan krisis bekalan global sektor tenaga susulan konflik di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi inisiatif rebat solar SuRIA Home.

Beliau berkata di bawah program itu, pengguna domestik yang memasang sistem Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) dan memenuhi kriteria kelayakan boleh menerima rebat sebanyak RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan solar sehingga maksimum RM3,000 bersamaan 5kWac.

Ad Banner
Ad Banner

"Program ini dijangka memberikan manfaat kepada antara 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul kira-kira 250MW, sekali gus memperluas penggunaan solar bumbung kediaman di seluruh negara," katanya pada pelancaran SuRIA Home bersempena dengan perhimpunan bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini hari ini.

Fadillah berkata program SuRIA Home dibuka kepada pepasangan solar di bawah program Solar ATAP yang mula beroperasi hingga 31 Dis 2026 atau sehingga kuota 250MW dipenuhi, mengikut mana yang terdahulu.

"Pelaksanaan rebat pula akan bermula pada 1 Jun 2026 dan tertakluk kepada prinsip first come, first served," katanya.

Fadillah berkata hanya rakyat Malaysia yang juga pengguna individu domestik Voltan Rendah (LV) dan telah berjaya memulakan operasi sistem Solar ATAP dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) layak menerima rebat berkenaan bagi memastikan bantuan itu dinikmati secara adil dan telus.

Beliau berkata tuntutan rebat itu dihadkan kepada sekali sahaja bagi setiap individu yang memenuhi syarat kelayakan.

Fadillah berkata mana-mana pihak termasuk penyedia solar yang didapati menyalahgunakan sistem permohonan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan TNB boleh disenarai hitam daripada menyertai program insentif pada masa hadapan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan