KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Prestasi sosioekonomi di beberapa negeri menunjukkan kestabilan pada Suku Tahun Pertama (ST1) 2026, disokong oleh inflasi terkawal, pasaran buruh yang stabil, sentimen perniagaan positif dan pertumbuhan penduduk yang meningkat.
Menurut laporan Indikator Sosioekonomi Negeri yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, WILAYAH PERSEKUTUAN terus mengekalkan prestasi sosioekonomi yang berdaya tahan, didorong oleh aktiviti ekonomi mampan, pasaran buruh stabil dan pergerakan harga terkawal.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat ekonomi dan komersial utama negara, disokong oleh aktiviti ekonomi yang berterusan serta keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan dengan tenaga buruh berjumlah 1.21 juta orang, kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) sebanyak 76.0 peratus manakala kadar pengangguran kekal stabil pada 3.4 peratus.
Bagi Putrajaya, wilayah itu terus menunjukkan prestasi sosioekonomi yang stabil sebagai pusat pentadbiran negara, disokong oleh pasaran buruh yang aktif dan prospek perniagaan yang positif manakala di Labuan, prestasi disokong oleh aktiviti perniagaan dan prestasi industri yang berdaya tahan.
Di MELAKA, negeri itu menunjukkan prestasi sosioekonomi yang stabil dengan pasaran buruh berdaya tahan, sentimen perniagaan yang positif serta kadar pertumbuhan penduduk yang meningkat.
“Bilangan tenaga buruh merekodkan 525.4 ribu orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) berada pada 69.8 peratus manakala bilangan penduduk bekerja pula kekal pada 514.7 ribu orang selain kadar pengangguran kekal rendah pada paras dua peratus,” menurut DOSM.
Imbangan bersih jangkaan perniagaan Melaka melonjak kepada +3.1 peratus bagi Januari hingga Jun 2026 berbanding -5.8 peratus pada suku sebelumnya manakala kapasiti penggunaan industri sektor pembuatan kekal stabil pada 87.7 peratus.
Daripada perspektif demografi, penduduk Melaka meningkat kepada 1.057 juta orang dengan 2,778 kelahiran hidup dan 1,585 kematian direkodkan dalam tempoh sama.
Di KELANTAN, negeri itu mencatatkan prestasi sosioekonomi yang stabil dengan inflasi terkawal, pasaran buruh stabil serta pertumbuhan penduduk yang meningkat meskipun sentimen perniagaan lebih berhati-hati.
DOSM memaklumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Kelantan meningkat kepada 0.7 peratus pada Mac berbanding 0.2 peratus pada Februari lepas.
Bilangan penduduk bekerja di Kelantan turut meningkat kepada 710,500 orang berbanding 708,100 orang pada suku keempat 2025, namun imbangan bersih jangkaan perniagaan mencatat -4.4 peratus berbanding -3.9 peratus pada suku sebelumnya.
Di PAHANG, prestasi sosioekonomi negeri itu kekal stabil dengan inflasi meningkat, pasaran buruh kukuh serta sentimen perniagaan positif, dengan bilangan tenaga buruh mencatatkan 772,200 orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 65.3 peratus.
Penduduk Pahang pula direkodkan sebanyak 1.69 juta orang pada ST1 2026, dengan 4,879 kelahiran hidup dan 2,585 kematian dicatatkan dalam tempoh sama.
TERENGGANU turut mencatatkan prestasi sosioekonomi yang stabil pada ST1 2026, dicerminkan oleh sentimen perniagaan positif dan pasaran buruh yang mampan.
“Bilangan tenaga buruh mencatatkan 509,300 orang, sementara kadar penyertaan tenaga buruh pula berada pada 61.3 peratus. Bilangan penduduk bekerja pula mencatatkan 493,100 orang manakala kadar pengangguran direkodkan sebanyak 3.2 peratus,” menurut DOSM.
DOSM memaklumkan penduduk di Terengganu meningkat kepada 1.252 juta orang pada ST1 2026 berbanding 1.251 juta pada suku sebelumnya, dengan 5,585 kelahiran hidup dan 1,899 kematian direkodkan dalam tempoh sama.
Di PULAU PINANG, prestasi sosioekonomi negeri itu kekal stabil disokong oleh inflasi terkawal, pasaran buruh stabil, sentimen perniagaan positif serta pertumbuhan penduduk yang meningkat.
Nilai eksport Pulau Pinang meningkat 45 peratus kepada RM196.1 bilion manakala import meningkat 25.3 peratus kepada RM100.7 bilion pada ST1 2026, mencerminkan aktiviti perdagangan yang rancak dan berdaya tahan.
“Bilangan tenaga buruh mencatatkan 947,800 orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 71.8 peratus, sementara bilangan penduduk bekerja berada pada 922,300 orang,” menurut DOSM.
Imbangan bersih jangkaan perniagaan negeri itu kekal positif pada +7.2 peratus berbanding +6.8 peratus sebelum ini manakala jumlah penduduk meningkat kepada 1.812 juta orang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial