Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ancaman Senyap, Kesannya Besar: Menyingkap Realiti Kanser Tiroid Di Malaysia

21/05/2026 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kelenjar tiroid ialah organ yang berbentuk rama-rama terletak di pangkal leher manusia dan berperanan mengawal metabolisme, tenaga serta suhu badan manusia namun organ ini sering tidak diberi perhatian apabila diserang kanser sehinggalah keadaannya begitu ketara.

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, kanser tiroid menduduki tempat kelapan dalam senarai kanser paling lazim dalam kalangan wanita, dengan kadar 4.2 per 100,000 populasi.

Kanser tiroid sering dianggap sebagai ancaman senyap kerana boleh berlaku tanpa menunjukkan sebarang gejala jelas dan dalam kebanyakan kes, ia dikenal pasti melalui tanda-tanda awal seperti benjolan di leher serta perubahan suara.

Ad Banner
Ad Banner

Walaupun tahap kesedaran masyarakat terhadap kanser tiroid semakin meningkat dan lebih banyak kes dapat dikesan pada peringkat awal melalui saringan kesihatan rutin, masih terdapat kekeliruan antara kanser tiroid dengan penyakit tiroid lain seperti hipotiroidisme serta goiter, dan kekeliruan ini sering menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan atau memulakan rawatan yang sesuai.

Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Dr Wong Mei Wan dan Pakar Perubatan Nuklear Dr Tan Teik Hin dari Pusat Perubatan Sunway berkongsi pandangan mereka tentang sifat kanser tiroid, termasuk tanda-tanda awal, diagnosis, pilihan rawatan moden, dan pentingnya pemeriksaan susulan jangka panjang.

"Kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroksin yang penting dalam proses metabolisme tubuh. Penghasilan tiroksin yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang berasa gelisah dan terlalu bertenaga, manakala kekurangan hormon ini boleh menyebabkan rasa sejuk, letih dan lesu," kata Dr Wong.

Bagaimanapun, kanser tiroid tidak ada kaitan dengan hormon.

"Kebanyakan pesakit kanser tiroid mempunyai fungsi tiroid yang normal. Kanser biasanya ketumbuhan fizikal atau nodul dalam kelenjar. Kanser tiroid tidak menyebabkan hipertiroidisme atau hipotiroidisme, dan penyakit tersebut juga tidak semestinya membawa kepada kanser tiroid," jelas Dr Tan.

Tidak seperti kanser lain, kanser tiroid di Malaysia tidak berkait rapat dengan faktor gaya hidup seperti merokok namun sejarah keluarga boleh menjadi faktor.

"Terdapat beberapa jenis kanser tiroid yang disebabkan genetik, bukan semua. Kami hanya menguji apabila terdapat sejarah keluarga ketara," kata Dr Wong sambil menambah kira-kira dua pertiga pesakitnya adalah wanita, yang mencerminkan trend global.

Sementara itu, Dr Tan berkata kebanyakan kes kanser tiroid kini dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahap 1 melalui program saringan kesihatan.

"Jika dibandingkan dengan sepuluh tahun lalu, kebanyakan kes tiroid ketika itu hanya dikesan di tahap akhir, terutamanya tahap 3 atau 4. Perubahan ini merupakan perkembangan yang sangat menggalakkan," katanya.

Beliau berkata kira-kira 85 peratus kanser tiroid merebak dengan perlahan terutama jenis papilari atau folikel dan kebiasaanya bertindak balas dengan baik terhadap rawatan tetapi sebaik sahaja mencapai Peringkat 4 dan sudah merebak ke paru-paru atau tulang, kadar kelangsungan hidup menurun kepada bawah 50 peratus.

Dr Tan berkata rawatan biasanya bermula dengan pembedahan.

"Setelah tumor dibuang, kami periksa betapa agresifnya tumor tersebut. Jika ia berisiko tinggi, kami biasanya akan membuat tindakan susulan dengan terapi iodin radioaktif (RAI).

"Ia menyingkirkan sebarang sel kanser yang tinggal dan membolehkan kami mengimbas penyebaran tersembunyi…  iodin radioaktif adalah sama secara kimia seperti iodin semula jadi dalam badan kita. Ia selamat, diterima dengan baik, dan jarang menyebabkan alahan… perkataan 'radioaktif' ini yang selalunya membawa kebimbangan tetapi ia langsung tidak sama seperti terapi radiasi pancaran luaran," katanya.

Beliau berkata walaupun hasil rawatan biasanya baik, kekambuhan boleh berlaku selalunya di nodus limfa, walaupun bertahun-tahun kemudian.

"Itulah sebabnya pemeriksaan susulan jangka panjang adalah kritikal Selepas pembedahan, pesakit biasanya memerlukan penggantian hormon tiroid seumur hidup.

"Ia serupa dengan mengambil suplemen. Ia boleh diterima dengan baik, dan kebanyakan pesakit boleh menyesuaikan diri dengan cepat," kata Dr Wong.

Bagi pesakit tahap 1 dan 2, Dr Tan mengesyorkan pemeriksaan setiap enam bulan selama dua tahun, kemudian setiap tahun sehingga lima tahun dan selepas itu, pemeriksaan susulan boleh dibuat berdasarkan keselesaan dan risiko.

Beliau berkata ubat seperti penghalang kinase tirosin (TKI) memberikan pilihan baharu untuk kes di peringkat lanjut atau kes resisten.

"Ia digunakan apabila RAI tidak lagi berkesan. Ia mengecutkan tumor sebelum pembedahan atau menguruskan penyakit metastasis," katanya sambil menambah kesan sampingan seperti keletihan, masalah kulit, proteinuria atau hipertensi mesti dipantau dengan teliti.

Walaupun saringan tiroid tidak dilakukan secara rutin di Malaysia, kedua-dua doktor bersetuju bahawa pendidikan di peringkat awam tetap penting.

"Jika anda merasakan benjolan berterusan di leher anda, pergilah periksa dengan cepat. Ultrasound dan ujian darah adalah mudah, boleh diakses, dan boleh dilakukan di kebanyakan klinik," kata Dr Wong.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan