IPOH, 21 Mei (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Perak hari ini mengadakan latihan bantuan pernafasan (CPR) kepada pengamal media Perak di Kinta Medical Centre Ipoh.
Pada program sehari itu, pengamal media diberi pendedahan dan latihan praktikal secara langsung berkaitan teori bantuan hayat asas, tanda amaran serangan jantung, teknik CPR, tindak balas kecemasan kes tercekik serta kesedaran penggunaan defibrilator luaran automatik (AED).
Selain itu, mereka diberi peluang mempraktikkan tekanan dada menggunakan patung latihan, mempelajari tindak balas yang betul ketika berdepan kecemasan tercekik dan memahami peranan AED dalam situasi jantung terhenti mengejut.
Pengerusi MMA Cawangan Perak Dr Monesh Pillai berkata golongan media dipilih untuk menyertai program tersebut kerana peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat kesihatan yang tepat, praktikal dan pantas kepada orang ramai.
"Doktor boleh menasihati pesakit di klinik dan hospital, tetapi media mampu membawa mesej kesihatan awam dengan lebih meluas. Media yang memahami CPR, tanda amaran serangan jantung dan tindak balas kecemasan boleh membantu ribuan orang untuk memahami apa perlu dilakukan apabila setiap minit amat berharga," katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan hari ini.
Monesh berkata berdasarkan rekod dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemia menjadi sebab utama kematian di negara ini iaitu 17,421 kematian atau 13 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada 2024.
Beliau berkata angka tersebut menjadi peringatan bahawa kecemasan jantung perlu dianggap sebagai isu komuniti dan bukan hanya masalah hospital semata-mata.
"Serangan jantung boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia boleh menjejaskan warga emas, golongan bekerja, ibu bapa, profesional dan individu yang kelihatan sihat dari luar.
"Risiko meningkat dengan usia serta keadaan senyap seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, merokok, pemakanan tidak sihat, tekanan, obesiti dan kurang aktiviti fizikal. Kesedaran mesti bermula sebelum kecemasan berlaku," katanya.
Sementara itu, Monesh berkata MMA Cawangan Perak aktif menjalankan program CPR komuniti sejak beberapa tahun lepas termasuk sesi untuk guru, pelajar dan orang awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial