Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

63 Warga Bernama Terima APC 2025 Kementerian Komunikasi - KPE

21/05/2026 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Seramai 63 warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Kementerian Komunikasi hari ini sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi dan kecemerlangan mereka dalam melaksanakan tugas sepanjang tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata penganugerahan itu diharap menjadi suntikan semangat kepada warga kerja lain untuk terus meningkatkan prestasi serta memacu kecemerlangan organisasi.

“Alhamdulillah, hari ini kita meraikan 63 penerima APC 2025 Bernama yang telah menampilkan komitmen, dedikasi, kesungguhan dan kecemerlangan dalam setiap tugasan mereka sepanjang 2025.

Ad Banner
Ad Banner

“Saya berharap dengan penganugerahan ini akan menyuntik semangat dan menjadi teladan kepada rakan-rakan sekerja untuk turut sama memacu tugasan masing-masing sehingga mencapai tahap kecemerlangan,” katanya selepas menghadiri Majlis APC Kementerian Komunikasi 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail serta Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Datuk Roslan Ariffin.

Mengulas lanjut, Nur-ul Afida berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, Bernama perlu terus bergerak seiring dengan kehendak semasa serta memperkukuh peranannya dalam landskap media negara.

Ad Banner

Beliau berkata majoriti warga Bernama kini terdiri daripada golongan muda yang diyakini mampu membawa idea dan pandangan baharu kepada pengurusan dalam usaha meningkatkan kecemerlangan organisasi.

Seramai 687 warga Kementerian Komunikasi dan agensi di bawahnya menerima APC 2025 termasuk 535 penerima melibatkan Zon Semenanjung yang diraikan hari ini.

Ia melibatkan 66 penerima daripada Kementerian Komunikasi; RTM (234 penerima); Jabatan Penerangan (JaPen) (121); Jabatan Komunikasi Komuniti (JKom) (18); IPPTAR (lapan); Bernama (63); dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 25 penerima.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan