Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ibu Muda Era Moden Lebih Mencabar, Imbangi Keluarga Dan Kerjaya

21/05/2026 09:21 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Peranan ibu muda pada era moden jauh lebih mencabar berbanding generasi terdahulu apabila majoriti mereka terpaksa mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab domestik dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.

Tinjauan sempena sambutan Hari Ibu 2025 mendapati 71.6 peratus daripada 2,032 responden bersetuju menjadi ibu zaman kini lebih mencabar berbanding dahulu.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Juwairiya Zulkifli berkata terdapat lima faktor yang diukur, iaitu kos sara hidup, ekonomi, keseimbangan kerjaya dan kehidupan serta isu penjagaan anak.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata cabaran paling besar ialah faktor ekonomi keluarga terutama dalam membesarkan anak dan perbelanjaan persekolahan mereka.

“Selain itu, ibu muda perlu mengimbangi kerjaya dan kehidupan sebagai isteri. Mereka perlu membahagikan masa antara menguruskan anak di rumah dengan tanggungjawab di tempat kerja,” katanya semasa Program Podcast Kasih Lensa Keluarga 2026 “Cabaran Ibu Muda: Keluarga dan Kerjaya” di Studio Bergerak Bernama semalam.

Juwairiya berkata bagi mendepani cabaran itu, ibu muda memerlukan sistem sokongan yang kukuh terutama daripada suami yang memahami, bertolak ansur dan menghormati kerjaya isteri.

Ad Banner

Selain sokongan pasangan, beliau berkata kemudahan waktu bekerja fleksibel dan penyediaan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja antara sokongan yang amat dihargai oleh wanita bekerjaya.

Menyentuh wanita yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa, Juwairiya menyifatkan keputusan itu sebagai satu keistimewaan dan tidak seharusnya dipandang rendah oleh masyarakat.

“Jangan rasa bersalah (jika memilih menjadi suri rumah). Tugas ibu sangat mulia apabila dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tumbesaran anak.

“Kita perlu mengikis stigma masyarakat yang memandang wanita yang memilih jalan ini seolah-olah mereka golongan kelas kedua,” katanya.

Dalam pada itu, Juwairiya mengingatkan suami agar sentiasa peka terhadap keperluan ruang rehat atau  me-time untuk isteri bagi mengekalkan kesihatan mental yang optimum.

“Ibu yang sihat, sejahtera dan gembira akan melahirkan keluarga yang bahagia, sekali gus membentuk masyarakat yang positif,” katanya.

Sementara itu, beliau berkongsi kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global yang kini berada pada tangga ke-108 daripada 148 negara.

Beliau berkata walaupun Malaysia mencatatkan skor cemerlang dalam sektor kesihatan dan pendidikan, kedudukan keseluruhan masih rendah disebabkan kurangnya penglibatan wanita dalam sektor pembuatan dasar, politik serta ekonomi.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar ekosistem sokongan terus diperkukuh bagi memperkasakan golongan wanita supaya mereka dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara tanpa mengabaikan institusi kekeluargaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan