Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

El Nino: DOF Perkukuh Kesiapsiagaan Sektor Perikanan Negara

20/05/2026 04:36 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF)  menggerakkan pelbagai langkah mitigasi dan adaptasi secara proaktif bagi meminimumkan impak terhadap industri serta memastikan keterjaminan makanan negara kekal stabil dan lestari, susulan fenomena El Nino Mei hingga Oktober ini.

Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain berkata ia termasuk pemantauan lapangan secara berterusan, pengurusan ternakan yang lebih efisien, penggunaan teknologi pengudaraan dan sistem kitaran semula air (RAS), pengukuhan biosekuriti ternakan serta penyesuaian operasi penangkapan ikan berdasarkan maklumat cuaca dan oseanografi semasa.

"Selain itu, penggunaan aplikasi MyFSI turut diperkasakan bagi membantu nelayan mendapatkan maklumat cuaca lautan dan mengenal pasti lokasi penumpuan sumber ikan dengan lebih tepat, sekali gus mengurangkan risiko kerugian operasi dan pembaziran bahan api.

Ad Banner
Ad Banner

"DOF turut memberi tumpuan kepada langkah jangka panjang melalui pelaksanaan Pelan Mitigasi Bencana Subsektor Akuakultur serta Pelan Tindakan Perubahan Iklim Sektor Perikanan 2024-2030 yang menjadi panduan strategik menghadapi cabaran perubahan iklim secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelan tersebut dirangka selaras dengan aspirasi nasional melalui Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2025-2030 bagi memperkukuh daya tahan sektor perikanan negara dalam mendepani risiko cuaca ekstrem.

Adnan berkata dijangkakan fenomena El Nino itu berpotensi memberi kesan terhadap subsektor perikanan tangkapan dan akuakultur negara, khususnya di beberapa kawasan yang mengalami keadaan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa.

Ad Banner

Berdasarkan analisis data semasa yang mengintegrasikan rekod pengeluaran perikanan, unjuran cuaca dan Indeks Kerpasan Piawai (SPI) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, pengeluaran ikan negara di kawasan terjejas diunjurkan menurun sebanyak 5,355 tan metrik atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan pengeluaran pada 2025.

"Subsektor akuakultur dijangka menerima impak paling ketara dengan unjuran penurunan hasil sebanyak 38.6 peratus, susulan peningkatan suhu air, penurunan paras air serta gangguan terhadap parameter kualiti air ternakan.

"Sementara itu, subsektor perikanan tangkapan turut berdepan cabaran perubahan taburan sumber marin, peningkatan kos operasi serta risiko keselamatan semasa operasi penangkapan di laut," katanya.

Adnan berkata DOF akan  terus memperkukuh pendekatan berasaskan teknologi, sains dan amalan  pengurusan mampan supaya industri perikanan negara kekal kompetitif, responsif terhadap  perubahan iklim serta mampu menjamin bekalan makanan protein kepada rakyat secara berterusan.

Sehubungan dengan itu, komuniti nelayan dan pengusaha akuakultur disaran sentiasa mendapatkan maklumat terkini cuaca, mematuhi nasihat teknikal jabatan serta melaksanakan langkah kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko kerugian akibat fenomena cuaca ekstrem.

Beliau berkata kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pemain industri dan komuniti nelayan amat penting dalam memastikan sektor perikanan negara terus mampan dan berdaya tahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan