IPOH, 13 Mei (Bernama) -- Seramai 19 orang gelandangan dan orang papa diselamatkan menerusi Operasi Bersepadu Menangani Isu Gelandangan dan Orang Papa di sekitar bandar raya Ipoh hari ini.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah tersebut, seorang individu didapati positif morfin manakala seorang lagi individu telah diambil oleh Yayasan Kebajikan Negara untuk dibawa ke Anjung Singgah bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan lanjut.
Operasi dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara Negeri Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kesihatan Daerah Kinta serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilakukan di sekitar kawasan tumpuan awam selama lebih lima jam bermula pukul 9 pagi tadi.
MBI memaklumkan antara lokasi yang terlibat dalam operasi itu Jalan Foo Yet Kai berhampiran Pasaraya The Store, Jalan C.M. Yusuff, di hadapan Kolej Olympia dan kawasan sekitar Pasar Besar Ipoh serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh.
"MBI juga membantu membawa golongan gelandangan dan orang papa ke JKM bagi tujuan pengambilan butiran maklumat serta tindakan susulan yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.
.-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial