Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Subsidi Petrol: Pakar Cadang Kaedah Skor Pelbagai Dimensi Ganti Pengelasan Pendapatan

13/05/2026 09:02 AM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan disaran menggunakan kaedah pengelasan pendapatan isi rumah berasaskan skor pelbagai dimensi bagi memastikan semakan semula subsidi petrol untuk golongan berpendapatan tinggi dilaksanakan secara lebih telus dan tepat.

Pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata pendekatan itu mampu memberikan gambaran lebih menyeluruh terhadap kemampuan sebenar isi rumah kerana langkah itu bukan sahaja menilai pendapatan, malah turut mengambil kira aset, lokasi tempat tinggal, jumlah tanggungan dan corak perbelanjaan.

Ad Banner
Ad Banner

Provos dan Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia itu berkata sistem pengelasan B40, M40 dan T20 yang digunakan ketika ini tidak lagi mencerminkan realiti kos sara hidup semasa, khususnya perbezaan antara kawasan bandar dengan luar bandar.

“Pendapatan RM15,000 di Kuala Lumpur tidak sama dengan RM15,000 yang diperoleh isi rumah yang menetap di Kota Bharu, Kelantan kerana kos kehidupan di bandar raya utama, bandar sederhana, luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak itu sama sekali berbeza,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pendekatan berasaskan skor pelbagai dimensi lebih praktikal untuk jangka panjang kerana langkah itu menilai kemampuan sebenar isi rumah, bukan sekadar pendapatan kasar bulanan.

Ad Banner
Ad Banner

Barjoyai turut mengingatkan kerajaan supaya mengelakkan pelaksanaan dasar yang boleh mencetuskan fenomena middle class squeeze, iaitu keadaan apabila golongan pertengahan terbeban akibat cukai dan kehilangan subsidi sehingga meningkatkan tekanan kos sara hidup.

Mengulas cadangan semakan subsidi petrol, beliau berkata kerajaan juga boleh mempertimbangkan mekanisme lain seperti pengapungan harga petrol dalam julat terkawal atau mengehadkan subsidi kepada 100 liter pertama bagi setiap pengguna.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan mencadangkan supaya kategori isi rumah berpendapatan tinggi dikecilkan kepada 15 peratus berbanding 20 peratus ketika ini, dengan data daripada Pangkalan Data Utama (PADU) dijadikan rujukan utama.

Beliau berkata penggunaan PADU bersama data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mampu membantu kerajaan menentukan kumpulan yang benar-benar layak menerima subsidi secara lebih tepat dan menyeluruh.

Azmi turut menolak dakwaan bahawa langkah itu tidak adil kepada golongan berpendapatan tinggi kerana cadangan tersebut hanya melibatkan kumpulan yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan pula berkata masih terdapat kebimbangan dalam kalangan orang awam berkenaan ketepatan maklumat pendapatan, status pekerjaan, tanggungan keluarga dan perubahan ekonomi semasa mereka dalam data kerajaan.

“Jika data tidak tepat, risiko keciciran atau salah sasaran akan berlaku. Oleh itu, sebelum pelaksanaan dibuat secara penuh, kerajaan perlu memastikan proses semakan, pengemaskinian dan rayuan dapat dilakukan dengan mudah dan cepat supaya pengguna tidak terjejas akibat kelemahan data,” katanya.

Saravanan turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan insentif seperti pelepasan cukai atau bantuan tambahan bersasar sekiranya pengurangan subsidi dilaksanakan terhadap kumpulan tertentu.

Beliau, pada masa sama, berharap agar kerajaan terus memberikan fokus kepada usaha mengurangkan ketirisan yang berpunca daripada penyeludupan bahan api, pembaziran perbelanjaan awam dan ketidakcekapan sistem pengagihan subsidi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia Azlin Othman berkata cadangan semakan pemberian subsidi petrol kepada golongan berpendapatan tinggi ialah langkah wajar dalam memastikan bantuan kerajaan lebih bersasar, sekali gus membaiki kedudukan kewangan negara dalam jangka sederhana dan panjang.

Beliau, bagaimanapun, berkata sebarang pelaksanaan inisiatif berkaitan pengurangan subsidi haruslah dilakukan secara teliti dan berfasa, selain memastikan komunikasi yang jelas kepada rakyat bagi mengelakkan sebarang naratif tidak baik mahupun sentimen negatif dalam pasaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lepas berkata kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi, dan memaklumkan perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan