KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Universiti Sunway dan Sunway Theme Parks baru-baru ini meraikan majlis pengijazahan 19 kanak-kanak dari komuniti Desa Mentari yang menamatkan kohort pertama program Explorer Rangers.
Sunway Theme Parks menerusi satu kenyataan memaklumkan kolaborasi itu merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Komuniti Sunway Desa Mentari Universiti Sunway, yang bertujuan untuk merapatkan jurang pembelajaran dengan menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman kepada kanak-kanak.
Program Explorer Rangers merupakan inisiatif pendidikan luar yang memperkenalkan kanak-kanak kepada hidupan liar, kelestarian dan pembelajaran dunia sebenar dalam persekitaran taman tema.
"Program itu yang dirangka bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan praktikal menggalakkan kanak-kanak untuk meneroka dunia di luar bilik darjah sambil membina rasa ingin tahu, keyakinan dan semangat kerja berpasukan," maklum kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Sunway Theme Parks juga menyasar untuk memanfaatkan persekitaran, kemudahan dan kepakaran uniknya dalam bidang hidupan liar dan hiburan sambil belajar bagi menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses dan akan diingati selamanya oleh pelajar muda.
"Program itu juga memperkukuh komitmen Sunway Theme Parks untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang bagi lebih memahami alam semula jadi, kelestarian dan dunia di sekeliling mereka melalui pengalaman yang bermakna dan praktikal," maklumnya.
Sepanjang beberapa bulan lepas, kanak-kanak tersebut telah menamatkan 52 kelas di bawah program itu termasuk sesi "Kelas Praktikal Secara Langsung" yang menyediakan pembelajaran praktikal dan langsung untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang haiwan, alam semula jadi dan kelestarian, di samping meluaskan pendedahan mereka kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Inisiatif itu juga menyokong matlamat Program Pembangunan Komuniti Sunway Desa Mentari yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup melalui pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti dengan penekanan untuk mewujudkan akses kepada peluang pembelajaran dan memupuk pemimpin masa depan yang penyayang dan kreatif.
Berikutan kejayaan kohort pertama itu, Universiti Sunway dan Sunway Theme Parks berhasrat untuk terus membangunkan usaha ini dengan mempelawa lebih ramai kanak-kanak dari Desa Mentari untuk menyertai sesi Explorer Rangers pada masa hadapan.
Kerjasama ini telah menjadikan program Explorer Rangers sebagai platform untuk kesedaran, pertumbuhan dan pembelajaran bersama, membolehkan kanak-kanak meneroka potensi mereka sambil memperkukuh hubungan antara Sunway dan komuniti sekitar, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial