Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Tiada Cadangan Pinda Tempoh Jawatan Ketua Menteri Kepada 10 Tahun

11/05/2026 11:15 AM

GEORGE TOWN, 11 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bercadang untuk meminda had tempoh jawatan ketua menteri daripada dua penggal kepada 10 tahun buat masa ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan negeri sudah jelas berhubung had tempoh jawatan ketua menteri.

Beliau berkata Perkara 7 Fasal 2(a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan Yang Dipertua Negeri hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai ketua menteri yang mendapat kepercayaan majoriti dan tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam keadaan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sebelum sesuatu penggal mencapai tempoh lima tahun, istilah ‘dua penggal’ seharusnya difahamkan sebagai pengiraan kumulatif tahun-tahun yang terlibat untuk penggal pertama dan penggal kedua.

“Jumlah keseluruhan itu boleh kurang daripada 10 tahun tetapi tidak boleh sama sekali melangkaui 10 tahun,” katanya pada persidangan DUN Pulau Pinang di sini hari ini.

Chow berkata demikian bagi menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) sama ada kerajaan negeri bersedia meminda had tempoh jawatan ketua menteri kepada 10 tahun.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata Perkara 19 Fasal 3 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang turut memperuntukkan bahawa DUN hendaklah berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya melainkan dibubarkan lebih awal.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa tafsiran sedia ada terhadap had dua penggal sudah memadai dan tidak memerlukan sebarang pindaan buat masa ini,” katanya.

Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang secara rasmi mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal menerusi pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri yang diluluskan pada November 2018 bagi memperkukuh tadbir urus politik negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan